top of page

Kembali kepada politik utamakan isu rakyat, tolak naratif perkauman

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read

KEADILAN perlu kembali kepada pendekatan sederhana yang menjadi asas perjuangannya dan menolak politik berteraskan naratif perkauman, kata Naib Ketua Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean (gambar).


Beliau berkata, perkembangan politik semasa menunjukkan keperluan untuk mengubah wacana politik negara daripada persoalan berasaskan kaum kepada isu yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan rakyat.


"Berdasarkan perkembangan mutakhir senario politik negara, masanya sudah tiba agar wacana politik Malaysia beralih daripada isu berteraskan lensa perkauman kepada persoalan yang jauh lebih besar: bagaimana kita membina sebuah negara yang lebih makmur, berpendidikan, adil dan berdaya saing untuk semua rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Ker Chean berkata, politik tidak seharusnya terus terperangkap dalam persoalan mengenai manfaat yang diperoleh sesuatu kaum berbanding kaum lain.


Katanya, kemajuan ekonomi, peningkatan kualiti pendidikan dan pertambahan peluang pekerjaan sepatutnya memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.


"Tiada sesiapa perlu rugi jika orang lain untung. Jika ekonomi berkembang, pendidikan bertambah baik dan peluang pekerjaan meningkat, manfaatnya sepatutnya dirasai oleh seluruh rakyat."


Menurut beliau pendekatan itu selari dengan prinsip KEADILAN yang melihat orang Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak serta Orang Asli mempunyai hak yang sama untuk menuntut kehidupan lebih baik.


Antara persoalan yang sepatutnya menjadi tumpuan, katanya, ialah peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti, kemampuan memiliki rumah, kos sara hidup dan masa depan generasi muda.


Ker Chean berkata, politik Malaysia juga perlu kembali memberi perhatian kepada ekonomi yang berkembang, pendidikan berkualiti, institusi berintegriti, penjagaan kesihatan awam, perumahan mampu milik, pekerjaan bermaruah, mobiliti sosial dan kehidupan hari tua yang lebih terjamin.


"Inilah isu yang menentukan kualiti kehidupan rakyat setiap hari, tanpa mengira warna kulit," katanya.


Mengakui KEADILAN berdepan cabaran membawa naratif berkenaan sejak awal penubuhannya, Ker Chean berkata politik berasaskan kepentingan kelompok dan sentimen ancaman kaum lebih mudah mendapat perhatian.


Namun, tambahnya, KEADILAN memilih pendekatan yang lebih sukar dengan berusaha meyakinkan rakyat bahawa kepentingan sesuatu kaum boleh dipertahankan tanpa meminggirkan kaum lain.


"Kita cuba meyakinkan rakyat bahawa kepentingan Melayu boleh dipertahankan tanpa meminggirkan Cina dan India; kepentingan Cina dan India boleh dibela tanpa mengancam Melayu; dan hak semua rakyat boleh dipertahankan tanpa mengorbankan kepentingan negara," katanya.


Pendirian sederhana, ujarnya mungkin tidak sentiasa popular kerana tidak menawarkan jawapan yang paling mudah atau keras, namun politik bertanggungjawab memerlukan keberanian mencari titik temu.


"Politik yang bertanggungjawab bukan tentang pihak yang paling kuat menjerit. Politik yang bertanggungjawab ialah tentang keberanian mencari titik temu dan membina penyelesaian yang boleh membawa negara ke hadapan," katanya.


Penyokong KEADILAN tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai penyokong sebuah parti, sebaliknya sebagai kelompok yang percaya isu negara perlu dilihat melangkaui sempadan kaum.


Beliau menegaskan perjuangan KEADILAN bukan untuk memastikan satu kaum mengatasi kaum lain, sebaliknya memastikan negara dan seluruh rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan serta peluang yang saksama.


"Inilah pendirian yang perlu terus dipertahankan oleh KEADILAN. Kita tidak akan berputus asa untuk kekal sederhana, inklusif dan berprinsip," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page