top of page

Kematian Zara tidak berkemungkinan ditolak, jatuh tidak sengaja - Pakar Patologi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 3
  • 1 min read

ree

Selepas meneliti rekod perubatan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Pakar Patologi Forensik di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, Dr Jessie Hiu berpendapat, kematian pelajar berusia 13 itu tidak berkemungkinan disebabkan insiden terjatuh secara tidak sengaja atau akibat ditolak ketika berada dalam posisi berdiri di lokasi kejadian.


Menurutnya, beliau telah meneliti rekod perubatan, termasuk radiograf, laporan imbasan CT (tomografi berkomputer) serta CTA (tomografi angiogram berkomputer), selain turut melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.


''Berdasarkan pemeriksaan di asrama si mati, ukuran dari lantai ke rel besi melintang paling atas yang dipasang pada tembok konkrit di tingkat tiga ialah 118 sentimeter (cm).


''Saya dimaklumkan ketinggian antemortem si mati (Zara Qairina) adalah 154cm.


''Perbezaan antara ketinggian si mati dengan rel besi melintang paling atas ialah 36 cm.


"Ketinggian rel besi itu adalah lebih daripada tiga perempat ketinggian si mati dan berkemungkinan berada di atas pusat gravitinya," katanya seperti dilapor MyMetro.


Beliau memaklumkan dapatan itu dibuat semasa menjalankan siasatan di lokasi kejadian pada 2 Ogos lalu, jam 12.30 tengah hari.


Kenyataan bertulis setebal lima muka surat tersebut dibacakan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina yang berlangsung di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu hari ini.


Dr Jessie Hiu yang berkhidmat sejak 1998 di Hospital Queen Elizabeth, secara purata mengendalikan dan menyelia 100 hingga 150 bedah siasat setiap tahun, selain kerap dipanggil menjadi saksi pakar di Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi di Sabah serta Labuan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page