Kematian Zara Qairina: Kenyataan PM tidak lindungi sesiapa disambut baik
- Suara Keadilan

- Aug 7
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Biro Pendidikan KEADILAN Pusat menzahirkan sokongan penuh terhadap kenyataan tegas dan bertanggungjawab Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kes kematian tragis Zara Qairina Mahathir yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Sabah.
Pengerusinya, Mahmud Epah (gambar) menyifatkan, kematian itu merupakan tragedi yang meruntun hati seluruh rakyat di negara ini.
Justeru, katanya masyarakat diseru agar tidak mempolitikkan isu ini atau menyebarkan dakwaan tanpa asas.
"Keutamaan kita sekarang ialah memastikan keadilan ditegakkan dan kebenaran terungkai, demi menjaga maruah dan keselamatan semua anak-anak kita di sekolah.
"Kami juga menyambut baik komitmen PM Anwar bahawa tiada sesiapa pun, tanpa mengira pangkat, gelaran atau hubungan politik akan dilindungi daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti bersalah.
"Ketegasan ini mencerminkan prinsip asas KEADILAN bahawa undang-undang mesti ditegakkan secara adil dan saksama tanpa pilih kasih," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam isu sama, Mahmud berkata, pihaknya turut memberikan sokongan penuh terhadap usaha daripada pihak polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam mempercepatkan siasatan dan membawa keadilan kepada keluarga arwah.
"Kami juga menggesa semua pihak, terutamanya institusi pendidikan, untuk mengambil serius keselamatan pelajar, sama ada dalam bilik darjah mahupun di asrama," ujarnya lagi.
Terbaharu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memulangkan semula laporan penuh siasatan awal berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata laporan itu diserahkan semula semalam berserta arahan berhubung beberapa perkara untuk dibuat penelitian lanjut.









Comments