Kematian Zara: KKM kecam buli siber terhadap pakar forensik Dr Jessie
- Suara Keadilan

- Sep 9
- 1 min read

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengecam serangan siber terhadap pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu yang menjadi saksi prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) menegaskan, tindakan buli terhadap seorang pakar perubatan yang menjalankan tugas profesionalnya merupakan tindakan tidak wajar malah mencemar martabat perkhidmatan kesihatan negara.
"Kita boleh pertikai apa pun sahaja tidak mengapa, tetapi sampai ke paras buli secara siber itu pada saya sangat tidak wajar," katanya dipetik.
Dr Dzulkefly berkata begitu kepada pemberita selepas sesi INTAN Minister’s Conversation 2025 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Timur di Chukai, Kelantan pada Isnin.
Terdahulu, polis mengesahkan pihaknya telah membuka siasatan susulan laporan daripada Dr Jessie berkaitan ugutan diterimanya di media sosial.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Sementara itu, Dr Dzulkefly mengingatkan orang ramai supaya menghormati proses kehakiman yang sedang berjalan.
Beliau turut menggesa agar integriti dan kredibiliti profesion perubatan yang berkhidmat berdasarkan fakta serta prinsip sains diiktiraf.









Comments