Kematian Zara: 'Beri polis sedikit masa, jangan gopoh, libatkan kanak kanak lain'
- Suara Keadilan

- Aug 8
- 2 min read

Kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, perlu disiasat secara rapi oleh pihak polis dan rakyat tidak boleh gopoh menuduh atau menghukum sesiapapun sehingga siasatan selesai.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua pihak yang mahu mencari keadilan untuk Allahyarhamah Zara perlu yakin dengan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada sesiapa yang dilindungi dalam hal berkenaan.
"Saya faham perasaan nak keadilan untuk arwah adik Zara dan PM telah beri jaminan sekiranya ada sesiapa yang terbabit yang perlu diheret ke muka pengadilan, PM tak akan lindung sesiapa.
"Kita kena beri sedikit masa. Jabatan Peguam Negara pun telah pulangkan kertas siasatan kepada polis untuk lakukan beberapa perkara tambahan, lengkapkan, kembalikan kepada pihak pendakwaraya untuk tindakan seterusnya," kata Fahmi dalam temubual bersama Hello Malaysia berhubung pelbagai spekulasi timbul di belakang kematian Zara Qairina, semalam.
Katanya, dalam masa sama, rakyat pula tidak boleh gelojoh untuk percaya apa sahaja yang disiarkan dalam media sosial sebagai benar berkaitan kes tersebut.
Termasuklah, katanya, kandungan pihak tertentu kononnya telah mendengar dari saksi kejadian, terdapat pihak yang melakukan buli kepada Allahyarhamah dan sebagainya.
Lebih buruk, kata beliau, terdapat pula kanak kanak lain yang dilibatkan dengan kes kematian tersebut dan hal itu menjadi satu kesalahan serta penganiayaan terhadap kanak kanak sekiranya hal didakwa tidak dilakukan mereka.
"Beri sedikit masa, beri kepercayaan kepada PDRM lakukan siasatan.
"Kita tak nak ada tuduhan kepada kanak kanak yang lain. Itu menjadi satu kesalahan.
"Jadi saya nasihatkan supaya kita bersabar seketika, berikan masa. Jangan terlalu mudah, terlalu cepat memutuskan berdasarkan apa kita tengok dalam Tiktok, Telegram.
"Tetapi saya sebagai seorang ayah, saya nakkan keadilan untuk arwah adik Zara," katanya lagi.
Untuk rekod, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memberi amaran supaya orang ramai menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Dalam kenyataan MCMC berkata, penyebaran gambar, video atau sebarang maklumat yang belum disahkan bukan saja boleh mengguris perasaan ahli keluarga, malah bercanggah dengan nilai etika dan berpotensi melanggar undang-undang sedia ada.
Zara Qairina, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lalu.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada jam 4 pagi 16 Julai lalu.









Comments