Kematian Zara: Ada elemen buli, tiada cubaan cover up kes - Saifuddin
- Suara Keadilan

- Aug 18
- 2 min read

Kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina disiasat pihak polis dengan teliti dan tidak ditolak terdapat elemen buli dalam kes berkenan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata demikian dalam sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat pagi tadi.
Katanya, beliau menekankan agar pihak sekolah tidak menyorok mana mana kes buli sehingga menyebabkan berlakunya kejadian jenayah yang lebih besar.
"Saya tidak tolak daripada membaca laporan itu (siasatan) ada elemen buli. Saya nak sebut ada elemen buli. Sebab itu pihak kita sama (tegaskan), tidak boleh ada usaha menutup kalau ada elemen buli. Sekolah tempat sepatutnya jadi tempat selamat kepada anak anak kita.
"Kepada pentadbir sekolah, harus diingatkan kalau ada insiden ini (maka) bawa ke tengah. Sebab itu siasatan kita menjurus hala tuju (kes ini) kepada elemen buli," katanya yang menjelaskan juga terdapat dalam laporan itu bahawa Allahyarhamah telah membuat aduan kepada pihak sekolah.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, inkues yang diumumkan akan dimulakan berhubung kematian Zara pula merupakan usaha terbaik untuk memberi maklumat terbuka kepada rakyat, dan mereka boleh mengikutinya secara telus.
"Pada masa sama inkues juga sesuatu yang terbaik, di situ boleh semua pihak (mengetahui maklumat) secara terang dan terbuka.
"Kita nak cari kebenaran dan nak bawa, jika ada pelakunya, ke muka pengadilan," kata beliau.
Saifuddin dalam sesi penerangan itu turut mempertahankan sikap profesionalisme pihak polis kerana cadangan untuk menggali semula jenazah Zara bukan datang daripada orang awam atau netizen tetapi pihak polis sendiri.
Proses penggalian pula, kata beliau, dilakukan mengikut semua prosedur dan pihak keluarga Zara serta peguam keluarga mereka dibenarkan menyaksikan sendiri.
Malah, kata beliau, peguam keluarga Zara yang turut sama mengikuti proses di bilik bedah siasat sehingga proses selesai. Manakala peguam keluarga telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa proses tersebut dilakukan secara telus dan mengikut undang undang.
"Dari awal proses siasatan (ini) tiada sebarang percubaan penutupan kes atau cover up oleh mana pihak berkuasa," tegas Saifuddin lagi.









Comments