Kematian pelajar Indon didakwa di M'sia: MCMC panggil individu bantu siasatan


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap seorang individu berhubung penyebaran kandungan yang disyaki palsu melalui platform media sosial Facebook.
Kandungan yang dimuat naik pada 5 Oktober 2026 itu didapati mengaitkan dua insiden berasingan membabitkan kematian pelajar di Indonesia dan Malaysia.
Menurut MCMC, hantaran berkenaan mengaitkan kematian seorang pelajar lelaki warganegara Indonesia berusia tujuh tahun dengan kes kematian Irene Sofiya di Yong Peng, Johor.
Kandungan tersebut turut mengaitkan kedua-dua insiden berkenaan dengan pentadbiran Kerajaan Malaysia sehingga berpotensi menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap sistem persekolahan di Malaysia.
Susulan itu, MCMC telah mengambil rakaman percakapan individu berkenaan pada 7 Oktober 2026 bagi membantu siasatan.
Dalam tindakan sama, sebuah telefon bimbit bersama kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut turut disita bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Jika sabit kesalahan, peruntukan tersebut menetapkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC memandang serius penyebaran kandungan palsu, khususnya kandungan berkaitan kehilangan nyawa yang boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat serta menjejaskan perasaan dan sensitiviti keluarga serta rakan mangsa.
MCMC menasihatkan orang ramai supaya memastikan kesahihan fakta dan sumber sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan di media sosial.
Orang ramai turut diminta menghormati sensitiviti pihak yang terkesan serta menggunakan platform media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.




Comments