
Kematian akibat jangkitan pandemik Covid 19 yang mencanak naik pada beberapa minggu kebelakangan ini semakin membimbangkan.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal itu bertentangan dengan kenyataan pemimpin-pemimpin dan pegawai bertanggungjawab yang optimistik kononnya keadaan mula reda dan kadar kematian boleh dikawal.
"Mengikut statistik, pada Januari 2021, kadar 500 kematian dilaporkan dalam tempoh 6 minggu. Sekarang 500 kematian terkait Covid 19 dalam tempoh 6 hari. Ini bertentangan dengan kenyataan para pemimpin dan pegawai bertanggungjawab yang mengatakan keadaan berkurangan
"Jumlah (kematian) kita sudah pertikai, dan dalam media sosial merebak kecaman bahawa kadar positif (yang ada sekarang) tidak melambangkan keadaan sebenar.
"Kita uji kurang, kadar positif kurang. Kita uji lebih, kadar positif lebih. Tetapi tiada jawapan memuaskan kenapa kadar itu menurun secara mendadak. Sekadar mahu menunjukkan jumlah berkurangan?
"Maknanya kuasa darurat itu hanya strategi politik dan tidak memberi kesan sama sekali. Saya kesal.
"Orang politik memang dia nak hidup tetapi janganlah ada pegawai, profesional turut bersekongkol dan memberi alasan hujah yang lari daripada fakta dan data sains," katanya dalam siaran di Facebook, petang semalam.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, tanpa suatu hala tuju yang jelas atau data yang cukup maka kerajaan akan meneruskan tindakan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mendera rakyat.
Selain itu, Anwar juga menegur mengenai suntikan tunai yang masih kecil dalam membantu rakyat menghadapi PKP 3.0 sedangkan pakar-pakar ekonomi dunia menyarankan kerajaan memberi sejumlah besar bantuan kepada rakyat.
Beliau turut menyentuh mengenai kilang-kilang besar yang dengan mudah dibenarkan beroperasi tanpa peraturan yang ketat sehingga mewujudkan kluster Covid baharu.
"Kita tahu, entah terkait rasuah, saya tidak pasti tetapi diberi kebenaran kepada kilang-kilang, kalau kilang besar cepat kebenarannya.
"Kemudian tiada kawalan SOP yang jelas dan ketat. Umpamanya di Sepang, kilang sarung tangan getah 30% pekerja dikenalpasti positif. Bagaimana boleh kita benarkan hal ini berlaku? Kilang berjalan terus.
"Kalau pun mahu dibenarkan beroperasi maka kawalan mesti ketat, ujian saringan setiap seminggu. Saringan supaya tidak jadikan keadaan kusut.
"Perlu ada ujian, beri data kepada rakyat, kemudian pastikan ada langkah yang ketat dan terkawal. Jangan pilih-pilih. Gerai-gerai kecil hadapi masalah. Kilang besar diberi kelulusan tanpa kawalan," katanya.
Mengenai isu vaksin pula, Pengerusi Pakatan Harapan itu menegaskan sekali lagi agar kerajaan menggunakan khidmat doktor-doktor biasa atau General Practitioner (GP) yang terdapat di bandar dan pekan kecil bagi menyuntik vaksin kepada rakyat.
Beliau juga mempersoalkan laporan mendakwa terdapat 2 juta dos vaksin yang masih belum diedarkan.
Katanya, kelemahan seperti itu tidak boleh diterima ketika rakyat sedang bertarung nyawa menghadapi virus maut.
"Saya telah sentuh berulang kali. Saya katakan kamu cuai dari awal. Lembab terima vaksin dan saya cadangkan berilah satu dos awal kepada semua.
"Di kebanyakan negara kita lihat ribuan suntikan diberikan termasuk oleh GP di daerah-daerah kecil. Kita di sini masih fikiran 'otak mega', kos tinggi, kontraktor banyak. Tidak manfaatkan GP yang ada.
"Saya nak tanya. Saya dapat maklumat ada 2 juta dos vaksin yang dalam simpanan tak sempat diedarkan.
"Apa masalahnya? Orang mati jangkitan terkait Covid 19. 500 orang seminggu. Kenapa nak dilambatkan lagi pengagihan vaksin? Saya mahu penjelasan supaya hal ini tidak membebankan rkayat," katanya lagi.
Comments