top of page

Akta Pembaharuan Semula Bandar: Tun M hanya ulangi ketakutan untuk kekal relevan?

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menimbulkan kegusaran mengenai Akta Pembaharuan Semula Bandar, dengan mendakwa ianya akan mengusir orang Melayu di bandar besar dan hal itu sarat dengan naratif lama yang kini diulang semula.


Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata selama tiga bulan berehat setelah menerima rawatan, bekas perdana menteri itu kembali dengan retorik yang sama.


"Podcast pertamanya selepas cuti perubatan bukanlah tentang refleksi diri. Bukan tentang akauntabiliti. Sebaliknya, ia sarat dengan naratif lama yang telah lama diulangnya," kata beliau dalam kenyataan.


"Ini bukan cerita baharu, tetapi naratif lama yang diulang berkali-kali dengan harapan orang ramai berhenti mempersoalkannya."

Lokman berkata, Dr Mahathir cuba mengambil kredit atas penangguhan rang undang-undang tersebut sedangkan apa yang diperkatakan bukan sekadar mengelirukan, malah rekaan semata-mata.


"Hakikatnya, kerja sebenar dilakukan oleh UMNO. Mahathir seolah-olah terlupa bahawa UMNO tidak hanya bersuara, tetapi bertindak secara tersusun dan berstrategi," ujarnya.


Jelas Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk memperhalusi rang undang-undang tersebut dan menangani kebimbangan sebenar.


Katanya UMNO turut mendesak RUU itu dirujuk kepada jawatankuasa pilihan Parlimen selain menganjurkan Konvensyen Pembaharuan Bandar yang menghasilkan cadangan dan resolusi yang konkrit.


Tambahnya, semua langkah itu diserahkan terus kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi untuk dibincangkan di peringkat Kabinet.


"Selain itu, UMNO turut menuntut jaminan bagi melindungi demografi Bumiputera serta mengelakkan pengusiran secara paksa.


"Ini bukan sandiwara politik, tetapi kerja dasar yang nyata," ujarnya.


Lokman berkata menjelang Januari lalu, Kabinet memutuskan untuk menarik semula rang undang-undang tersebut bagi penambahbaikan lanjut.


Keputusan itu hasil daripada penglibatan berstruktur, bukan sekadar suara dari sebuah podcast, ujar beliau


"Jadi apabila Mahathir cuba mengambil kredit, ia bukan sahaja kelihatan lucu tetapi menunjukkan seorang tokoh yang sedang bergelut untuk kekal relevan.


"Ini bukan kepimpinan. Malah bukan juga sesuatu yang waras. Ia hanyalah cubaan lapuk untuk memutar semula realiti dan menonjolkan diri dalam usaha yang dilakukan oleh orang lain," bidasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page