Kemasukan Timor-Leste anggota ASEAN kejayaan Kementerian Luar
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Malaysia menyifatkan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN sebagai kejayaan hasil usaha berterusan Kementerian Luar dan sokongan padu negara-negara anggota lain.
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, proses tersebut bukan perkara yang mudah, malah mengambil masa untuk melaksanakannya.
"Hujahan kita akhirnya diterima. Itu merupakan satu khabar baik.
"Keduanya tentang ASEAN 2025 'Our Shared Future' ini maknanya Malaysia diletakkan wawasan bagi ASEAN yang diterima oleh semua negara-negara ASEAN.
"Dalam perbincangan dengan negara-negara lain, mereka juga dilihat meneliti dengan lebih mendalam peruntukan yang terkandung dalam Visi ASEAN 2025," katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjelaskan demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung kejayaan dan faedah yang diperoleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta hasil yang dicapai daripada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Korea.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia menggunakan platform APEC dan ASEAN untuk meningkatkan perdagangan dalam rantau itu.
"Sekarang ini sangat rendah iaitu 22%. Apa langkah yang dibuat sekarang? Kita guna QR Pay, dan pindahan tunai Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja.
"Bermula lima negara telah melaksanakan. Dengan APEC Alhamdulillah, mereka mengiktiraf peranan Malaysia dalam sidang ASEAN.
"Tetapi yang penting adalah persetujuan insiaitif AI APEC dan kita masukkan nilai kemanusiaan dan jati diri negara masing-masing," ujarnya lagi.





