Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Komunikasi menegaskan proses menyelaras prosedur operasi standard (SOP) kad perakuan media (KPM) berkaitan tempoh sah laku kad wartawan bukan untuk menyukarkan tugas pengamal media.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata, langkah penambahanbaikan di bawah kendalian Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) masih di peringkat perbincangan dan pihaknya akan membuat pengumuman susulan dalam masa terdekat.
"Saya minta JaPen meneliti semula beberapa perkara dan pihak Japen telah mengeluarkan kenyataan semalam, jadi ia masih di peringkat pertimbangan dan kita akan buat pengumuman susulan dalam masa terdekat," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Solusi Digital Penjagaan Kesihatan oleh CelcomDigi bersama MCMC dan MMA di Petaling Jaya, hari ini.
Terdahulu Jabatan Penerangan didakwa mengurangkan tempoh kad media yang dikeluarkan kepada wartawan dalam talian kepada enam bulan sahaja.
Susulan itu, JaPen dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa pihaknya dalam proses penyelarasan bagi tujuan Pengemaskinian Kod Etika Wartawan yang dilancarkan pada 20 Februari lalu.
Jelas badan penerangan itu pengamal media masih boleh memperbaharui kad perakuan media mereka yang telah tamat tempoh.
Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan tujuan penyelarasan itu bukan untuk mengekang kebebasan mana-mana media membuat pelaporan, sebaliknya proses tambahbaik tersebut bertujuan memudahkan para wartawan melakukan tugas mereka.
"Ingin saya tegaskan penyelarasan ini bukan untuk mengekang kebebasan bersuara kerana kad perakuan media ini tidak sama seperti badan profesional yang memerlukan lesen untuk bekerja dalam bidang tersebut.
"Sebaliknya fungsi kad perakuan media adalah kita memudah cara wartawan untuk hadir mengikuti dan membuat laporan bagi mana-mana acara rasmi," ujarnya lagi.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan kerjasama CelcomDigi dan sembilan penyedia perkhidmatan kesihatan digital mendapat geran sebanyak RM60 juta bagi memperkasakan pendigitalan syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Comments