top of page

Kemahiran asas buka peluang tambah pendapatan - Mustapha Sakmud

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 12
  • 1 min read

Datuk Mustapha (berbaju biru muda) meneliti mee kuning yang dihasilkan peserta kursus kemahiran asas
Datuk Mustapha (berbaju biru muda) meneliti mee kuning yang dihasilkan peserta kursus kemahiran asas

Oleh: ShaifulAnnuar Sulaiman


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, baru baru ini merasmikan Program Jelajah Pendidikan Tinggi untuk Komuniti Sabah di Dewan Kampung Landung Ayang, Kudat.


Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Kolej Komuniti Kota Marudu dan JPPKK Kampung Landung Ayang itu bertujuan memberi peluang pembelajaran kemahiran jangka pendek kepada masyarakat setempat.


Dalam ucapan perasmiannya, Mustapha menekankan penguasaan kemahiran teknikal dan vokasional sebagai kunci meningkatkan taraf hidup, khususnya bagi golongan belia dan suri rumah di luar bandar.


"Kemahiran bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah boleh menjadi sumber pendapatan tetap melalui perniagaan kecil-kecilan," katanya.


Program kali ini menawarkan tiga kursus utama — Kursus Asas Penyelenggaraan Motosikal, Kursus Pembuatan Mee Kuning, dan Kursus Art & Craft.


Kursus tersebut membekalkan peserta dengan pengetahuan praktikal seperti servis asas dan pembaikan ringan motosikal, penghasilan mee kuning secara komersial, serta pembuatan produk kraf tangan.


Kira-kira 80 peserta daripada pelbagai peringkat umur menyertai kursus, dengan majoritinya terdiri daripada golongan belia, suri rumah dan usahawan mikro.


Dalam majlis itu, Mustapha turut menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta yang menamatkan kursus serta meluangkan masa melawat pameran hasil kerja tangan dan demonstrasi penyelenggaraan motosikal oleh tenaga pengajar Kolej Komuniti.


Turut hadir ialah Ketua Cabang KEADILAN Kudat, Stefly Said; Pengarah Kolej Komuniti Kota Marudu, Liew Yin Huat; Pengarah KPT Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital, Zaidi Othman dan wakil ADUN Tanjung Kapor, Ruslee Awang Jaya.


Program ini menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dan diharap dapat diteruskan secara berkala bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran di Kudat dan kawasan sekitarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page