Oleh: Shaiful Anuar Sulaiman
ULASAN BERITA: Baru-baru ini satu kem pemerkasaan dan pemantapan sukarelawan Madani telah diadakan di Hotel De Palma, Shah Alam. Seramai lebih 100 orang peserta telah hadir dan berpeluang mengikuti sesi penerangan memenuhi visi Kerajaan Madani. Program tersebut dianjurkan oleh NGO Gerak Bina Harapan Malaysia (GBH) yang dipengerusikan oleh Ramlee Mohd Moklas.
Sewaktu merasmikan program berkenaan, Timbalan Menteri Keusahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan dalam ucapannya meletakkan harapan agar visi Kerajaan Madani memenuhi keperluan semasa negara dan mencorakkan minda serta sikap rakyat pada masa hadapan.
Sukarelawan Madani
Slogan 3M Membina Masyarakat Madani juga, katanya, perlu diterapkan kepada Sukarelawan Madani yang salah satunya dibentuk melalui program NGO berkenaan. Sukarelawan perlu digiatkan dalam kalangan masyarakat dan dijadikan sebagai satu usaha penerangan penting di semua peringkat.
Datuk Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berharap dengan adanya Sukarelawan Madani yang terlatih akan menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan kefahaman lebih mendalam tentang konsep Malaysia Madani.
Turut dijemput untuk berkongsi pengalaman adalah Timbalan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan, Datuk Ismail Yusof. Beliau sewaktu sesi pembentangan melahirkan kebimbangan kesukaran sukarelawan memberikan kefahaman konsep Malaysia Madani dalam masa yang singkat. Ismail dalam pada itu berkongsi mengenai proses dan elemen penting atau keutamaan konsep Malaysia Madani yang perlu difahami rakyat.
Turut menyumbang kefahaman Malaysia Madani dalam majlis itu adalah Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin.
Agen penggerak
Sukarelawan sukarelawan yang menjadi peserta program kali ini dianggap sebagai ejen penggerak Malaysia Madani. Dengan kehadiran agen penggerak berkenaan di tengah-tengah masyarakat, diharap akan membantu sedikit sebanyak kefahaman masyarakat di pelbagai peringkat.
Pengerusi NGO GBH, Ramlee Mohd Moklas dalam ucapan beliau menzahirkan kebimbangan tentang penerimaan masyarakat terhadap konsep Malaysia Madani yang masih belum meluas.
Beliau mengharapkan usaha sebagaimana dilakukan oleh NGO GBH akan membantu kerajaan menghakis segala fitnah-fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab memperlekehkan Kerajaan Madani.
Program sehari itu telah di akhiri dengan majlis iftar.
コメント