Keluarkan peta NCR Sarawak telah diukur, isu lebih mudah diselesaikan
- Suara Keadilan
- Jul 1
- 1 min read

Pengukuran tanah adat rakyat Sarawak atau Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah diperkatakan sejak beberapa hari lalu dan pemimpin Kerajaan Negeri pula telah mengeluarkan kenyataan mengenai jumlah tanah yang telah diukur.
Bagaimanapun, menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Sarawak, Roland Engan (gambar), Kerajaan Negeri seharusnya mengeluarkan peta menjelaskan kawasan NCR yang telah diukur bagi memudahkan pemahaman rakyat.
"Banyak yang sudah dikatakan tentang pengukuran tanah adat rakyat Sarawak. Baik data yang dikatakan oleh pihak Kerajaan Sarawak dan gesaan untuk mempercepatkan proses pengukuran tanah adat dan pemberhentian pemberian hakmilik pajakan pada syarikat-syarikat atau individu
"Saya cadangkan, memandangkan hal-ehwal tanah di bawah bidangkuasa Kerajaan Sarawak, adalah baik untuk semua jika Kerajaan Sarawak menunjukkan dalam peta Sarawak di mana tanah adat yang telah diukur dan diberi geran Section 6 dan Section 18," katanya dalam kenyataan.
Menurut Roland Engan, sekiranya data diketahui oleh semua pihak maka penyelesaian isu tersebut akan lebih mudah tanpa banyak pertikaian.
"Ketelusan data ialah kunci kesejahteraan masyarakat," katanya lagi.
Isu pengukuran tanah NCR timbul kembali apabila Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dalam tulisannya mengenang pemergian pejuang tanah NCR, Dennis Along, menyeru agar pengukuran tanah itu disegerakan.
Isu NCR perlu diselesaikan kerana dana puluhan juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengukur bagi menjamin Orang Asal Sarawak mendapat hak berkehidupan yang terjamin.
Comments