Oleh: Abdullah Zaid
Pengarah Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yob optimis pendekatan jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan seramai mungkin pengundi ‘putih’ mampu memberi kejutan kepada Pas-PN yang mempertahankan kerusi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman hari ini.
Katanya, pengundi tegar PH dan BN pada minit minit terakhir perlu dimanfaat sepenuhnya susulan peratusan keluar mengundi yang rendah sekitar 48% sahaja setakat jam 2 petang tadi.
"Kalau kita lihat, rata-rata di kawasan tempat mengundi hanya dipenuhi pengundi tua sahaja dan mereka ini kebanyakan pengundi putih BN.
"Sekiranya pengundi putih PH juga dikerah untuk turun mengundi, saya yakin calon kita boleh memenangi PRK ini," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.
Mengulas lanjut faktor pengundi muda kurang keluar mengundi kali ini, Ahmad Nadhir percaya mereka agak sinis kepada Pas kerana beberapa janji manifesto yang gagal dipenuhi terutama sejak Pilihan Raya Umum ke 15 pada 2022 atau Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.
"Jika kita lihat PRN lalu, mereka menyajikan pelbagai janji manis kepada pengundi muda.
"Namun, sehingga kini mereka gagal melaksanakan janji itu. Justeru saya yakin punca itu yang menyebabkan anak muda tidak turun seperti pilihan raya lalu," katanya.
Seramai 141,790 pemilih berdaftar di Kemaman membuang undi dalam PRK ini bagi memilih wakil rakyat baharu bagi kerusi itu setelah penyandangnya Che Alias Hamid dibatalkan kemenangan oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu.
Kerajaan Perpaduan mencalonkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (BN) berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden Pas.
Comments