Keluarga Wan Ahmad Faris tuntut penjelasan Kerajaan Kelantan
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Keluarga pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman menuntut komitmen dan penjelasan daripada Kerajaan Kelantan berkaitan kejadian kematian anak mereka.
Wakil peguam kepada keluarga Allahyarham, Tengku Shazuan Tengku Sharifuddin ketika mengemukakan memorandum tuntutan tersebut pada Isnin berkata, kerjasama itu penting supaya proses siasatan semula yang dilakukan dapat berjalan lancar.
"Beberapa perkara menimbulkan persoalan serius sejak awal tragedi itu. Antaranya berhubung perobohan lokasi kejadian iaitu tandas sekolah beberapa minggu selepas insiden sedangkan siasatan masih berjalan.
"Ini menimbulkan persoalan serius, selain berpotensi menghilangkan bukti penting," katanya dipetik pemberita di Kompleks Kota Darulnaim semalam.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar Tingkatan Empat, ditemui mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas.
Mayatnya dilaporkan ditemui penyelia asrama selepas terhidu bau busuk dari dalam tandas.
Laporan bedah siasat terhadap mayat Allahyarham mengklifikasi ia sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.
Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian pelajar itu disebabkan dibunuh oleh individu yang identiti belum dikenal pasti.
Susulan desakan keluarga, kerajaan telah bersetuju membuka semula kertas siasatan kes kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris.
Sementara itu Tengku Shazuan berkata memorandum diserahkan itu turut meminta penjelasan mengenai (dakwaan) kegagalan atau kelemahan pihak sekolah dalam menyediakan rekod keluar masuk pelajar dan memastikan kawalan keselamatan sekolah.
Mereka mahu penjelasan berhubung kehilangan simkad telefon Allahyarham ketika keluarga mengambil barangan peribadi, dan tuduhan tidak berasas bahawa Allahyarham membunuh diri.
"Selain itu kami mahu kerajaan negeri dan Yayasan Islam Kelantan menunjukkan komitmen dengan memastikan maklumat berkaitan tersedia untuk orang awam serta membuka ruang sekiranya kes ini perlu dibawa ke mahkamah," katanya.