top of page

Keluar sidang elak bahas RCI TH bukti pembangkang tidak serius - Dr Zaliha

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Kerusi tempat duduk anggota pembangkang kosong sepanjang perbahasan RCI TH di Dewan Rakyat
Kerusi tempat duduk anggota pembangkang kosong sepanjang perbahasan RCI TH di Dewan Rakyat

Tindakan pembangkang keluar beramai-ramai ketika Sidang Khas Dewan Rakyat membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan mereka dalam memperjuangkan kepentingan pendeposit institusi itu.


Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan itu amat mengecewakan memandangkan pembangkang selama ini lantang mendakwa memperjuangkan Islam dan kepentingan umat Islam.


Ahli Parlimen Sekijang itu berkata sidang khas berkenaan sepatutnya digunakan pembangkang untuk bertanya, mencabar atau menyanggah setiap dapatan RCI yang tidak dipersetujui mereka.


"Jadi saya hendak tanya, sebenarnya siapa yang tidak mahu isu Tabung Haji ini dibahaskan?


"Kalau ada dapatan RCI yang mereka tidak setuju, bangun dan lawan dengan fakta. Kalau ada keputusan kerajaan yang mereka mahu persoalkan, tanyakan dalam Dewan. Kalau ada pihak yang mereka percaya perlu dipertahankan, pertahankan dengan hujah," katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.


Zaliha berkata pembangkang tidak seharusnya bercakap mengenai ketelusan, amanah, Islam dan kepentingan umat di luar dewan tetapi memilih untuk meninggalkan persidangan apabila tiba masanya untuk berdepan dengan fakta.


Menurut mantan Menteri Wilayah Persekutuan itu, tindakan berkenaan amat mengecewakan kerana laporan RCI yang dibahaskan menyentuh pengurusan serta amanah terhadap wang pendeposit TH dan bukannya isu kecil yang boleh dijadikan ruang untuk melakukan 'political stunt'.


"Kalau benar mereka serius mahu mempertahankan kepentingan umat Islam, inilah tempatnya. Duduk dalam dewan, teliti laporan itu dan bahaskan setiap perkara yang mereka pertikaikan.


"Apabila mereka sendiri memilih untuk keluar, rakyat tentu berhak bertanya, apa sebenarnya yang pembangkang mahukan?" katanya.


Terdahulu, Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat dan enggan meneruskan perbahasan laporan RCI TH selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir pada sidang khas berkenaan.


Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata kehadiran Perdana Menteri penting bagi membolehkan penjelasan menyeluruh diberikan berhubung laporan berkenaan, lebih-lebih lagi sidang khas itu diadakan khusus bagi membahaskan dapatan RCI.


Zaliha bagaimanapun menegaskan ruang perbahasan yang disediakan di Dewan Rakyat sepatutnya dimanfaatkan untuk meneliti dan mempertikaikan laporan itu berdasarkan fakta.


"Kalau benar mereka serius mahu mempertahankan kepentingan umat Islam, inilah tempatnya," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page