Kelewatan lantik Naib Canselor di 5 universiti bukti kegagalan Menteri Pengajian Tinggi


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu menyegerakan pelantikan Naib Canselor (NC) di 5 universiti.


Menurut kenyataan Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH), kegagalan melantik NC tersebut telah pun mendapat teguran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kerana kekosongan yang berlarutan sejak awal tahun ini.


Kata mereka, Jawatankuasa Pendidikan PH bersetuju dengan pandangan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin bahawa kelewatan kerajaan membuat lantikan untuk mengisi kekosongan terbabit boleh menjejaskan operasi pentadbiran sekali gus menjejaskan hala tuju universiti


"Walaupun KPT memberikan alasan bahawa proses yang teliti dan profesional menyebabkan kelewatan, malangnya ianya tidak berlaku sebelum ini kepada penggantian Naib Canselor di beberapa universiti yang telah berlangsung dengan kadar segera. Ternyata alasan yang dikemukakan hanya merupakan helah dengan berselindung di sebalik SOP yang ada.


"Menteri Pengajian Tinggi harus mengambil tanggungjawab penuh kegagalan ini kerana Jadual Pertama Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) yang menjadi sebahagian peruntukan Perlembagaan Universiti menerusi lunas Seksyen 8(1), Akta 30 memberi kuasa penuh kepada Menteri untuk melantik Naib Canselor. Kuasa yang sama juga telah diberikan oleh Seksyen 20 Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) kepada Menteri untuk melantik Naib Canselor UiTM," kata mereka dalam satu kenyataan.


Menurut jawatankuasa itu, universiti yang ketiadaan NC ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Bagi UPSI, tarikh kekosongan jawatan Naib Canselornya ialah semenjak 7 Feb 21; bagi UiTM pula ialah semenjak 10 Mac; manakala UniMAP pula ialah 27 Mac; dan UMT ialah pada 12 April.


Bagi UPM ianya lebih menarik kerana Naib Canselornya telah diarahkan bercuti mulai 18 Februari yang sepatutnya pada tempoh asalnya ialah sebulan sahaja, tetapi telah disambung tanpa had sehingga kini.


Jawatankausa Pendidikan PH juga ingin penjelasan Menteri KPT mengenai pemberhentian tugas NC secara yang meragukan.


Hal ini kerana, kata mereka, merujuk kes pemberhentian NC UiTM dan UniMAP yang secara tiba-tiba dan telah mengundang banyak spekulasi.


"Apa yang pasti ada pihak dalaman mengatakan ianya lebih bermotifkan politik. Apa yang lebih memeranjatkan lagi penamatan tersebut tidak diberikan sebab dan tidak ada pelan penggantian dalam perancangan KPT. Mengapakah ditamatkan perkhidmatan NC tersebut sebelum tempohnya dan tanpa perancangan teliti untuk penggantiannya? Penamatan sebelum tempoh juga dibuat dalam keadaan di mana kedua-dua universiti iaitu UiTM dan UniMAP sedang ditadbir dengan baik dan menerima sokongan warga kampus secara keseluruhanya.


"Melihat kepada kes UMT dan UPSI, kita maklum iklan telah dikeluarkan untuk pemilihan pencalonan, namun selepas beberapa bulan hingga kini, kedua-dua universiti itu masih belum mempunyai NC. Malah untuk UMT, KPT telah mengambil masa lebih setahun untuk mencari pengganti mantan NC yang disambung setahun dari April 2020 hingga April 2021. Bagi kes UPM pula, keadaan seakan tergantung tanpa apa-apa penyelesaian dan tiada pula proses pencarian NC baharu.


"Perlu diketahui, amalan biasa ialah mana-mana kekosongan NC, akan disandang buat sementara waktu oleh salah seorang Timbalan Naib Canselor (TNC) yang dipilih. Mana-mana TNC yg ditugaskan menjalankan fungsi bolehlah bertindak sebagai NC tetapi ia masih tidak sama kerana mereka hanya menjalankan tugas rutin sahaja untuk sementara dan tidak akan merancang apa-apa strategi baru untuk universiti.


"Hakikatnya, mereka juga masih ada portfolio sendiri yang perlu dijalankan di samping tugas sementara yang disandang," kata mereka.


Walau apa pun, tegas Jawatankuasa Pendidikan PH, pemilihan NC ubtuk 5 universiti perlu dilakukan segera.


Menurut mereka, sewaktu pentadbiran PH, proses di KMT ialah proses pemilihan atau temuduga oleh Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor (JKTPNC) yang dianggotai oleh golongan profesional dan tiada kepentingan.


Setelah itu, YB Menteri akan memuktamadkan perlantikan. Proses ini tidak akan memakan masa yang lama sehingga berbulan-bulan seperti yang didakwa oleh KPT di dalam jawapannya kepada Cuepecs.


"Keputusan-keputusan ini memerlukan kepimpinan dan juga sifat kebertanggungjawaban di pihak Menteri lebih-lebih lagi di kala wabak Covid-19 melanda. Masalah ini dan banyak masalah lain yang timbul dalam pendidikan tinggi semenjak PN mengambil tampuk kuasa timbul ialah

kerana YB Menteri sibuk berpolitik dan membuat keputusan politik tanpa perancangan yang teliti.


"Oleh itu, Jawatankuasa Pendidikan PH mencadangkan agar Menteri menubuhkan Majlis Pendidikan Tinggi untuk mengendalikan keadaan pendidikan tinggi berdasarkan Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546).


"Hal ini pernah dibawa oleh Menteri Pendidikan di zaman PH, tetapi tidak dapat diteruskan kerana pertukaran kerajaan. Kewujudan Majlis ini akan lebih menjamin memberikan ruang untuk Pendidikan Tinggi menentukan halatujunya oleh golongan profesional dan meminimumkan kesan politik terhadap perjalanan dan masa depan pendidikan tinggi negara. Ia juga mampu untuk membendung apa jua kelemahan kepimpinan dari pihak eksekutif," kata mereka lagi.


Menurut mereka Jawatankuasa Pendidikan PH juga mencadangkan Menteri KPT melepaskan jawatan jika berterusan tidak mampu menentukan halatuju dan memacu kementerian yang penting tersebut.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (KEADILAN), Teo Nie Ching (DAP), Datuk Dr Hasan Baharom (AMANAH), Natrah binti Ismail (KEADILAN) dan Steven Sim Chee Keong (DAP).




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER