Oleh: Abdullah Zaid
Kemerosotan nilai ringgit yang hampir mencecah RM4.80 bagi satu dolar Amerika Syarikat (AS) pada waktu ini bukanlah akibat dasar ekonomi Malaysia yang kurang baik tetapi faktor luaran yang di luar kawalan.
Menurut Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim, sebelum ini keadaan agak baik kerana rakan dagangan utama seperti China tidak mengalami kelembapan ekonomi, dan eksport Malaysia ke negara itu berada pada kedudukan tinggi. Pada waktu ini keadaan sebaliknya berlaku.
"Kelembapan ekonomi China yang mana 17 peratus dagangan kita dengan mereka, sedikit sebanyak mempengaruhi nilai dagang.
"Kalau kita lihat indikator lain (ekonomi tiada masalah) pelaburan kita meningkat, inflasi menurun dan kadar pengangguran menurun. Jadi indikator menunjukkan pasaran kita lebih baik dan lebih menyeluruh meskipun ringgit melemah.
"Jadi kita tidak boleh ukur kekuatan ekonomi kita hanya berpaksi pada prestasi ringgit, sebaliknya kekuatan lain juga," katanya kepada Suara Keadilan.
Di samping itu, menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia itu, tindakan AS menaikkan kadar faedah sehingga melebihi 5% juga amat mempengaruhi pelabur yang menyimpan dalam dolar untuk mendapat keutungan.
Malaysia pula katanya, mengamalkan polisi ekonomi pro rakyat mempertahankan kadar faedah rendah 3% bagi mengelakkan jutaan warga yang membuat pinjaman bank terpaksa membayar bunga tinggi.
"Sistem ekonomi dunia, nilai dagangan gunakan matawang USD, jadi kedudukan dolar sangat mempengaruhi pasaran.
"Apa yang disebut pakar-pakar ekonomi menyatakan punca utama kelemahan nilai ringgit adalah disebabkan faktor luaran termasuk bagaimana Kerajaan AS menaikkan kadar faedah yang mengakibatkan kesan kepada mata wang dunia.
"Apakah langkah untuk mengukuhkan nilai ringgit? Ada, iaitu menaikkan kadar OPR sebagai salah satu kaedah segera.
"Tetapi langkah itu sudah semestinya akan memberi kesan yang besar kepada perbelanjaan rakyat Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, tegas beliau, kerajaan mengambil langkah tertentu untuk menangani masalah kejatuhan nilai ringgit, juga langkah bagi mengurangkan beban rakyat.
"Jadi apa yang kerajaan buat sekarang ialah merangka pelan jangka masa pendek dan panjang.
"Antaranya penyasaran semula subsidi, persaraan perkhidmatan awam melibatkan soal pencen sebagai langkah jangka panjang untuk kita mengukuhkan semula fiskal negara.
"Ia satu langkah bertanggungjawab yang mana kerajaan membantu kelompok yang benar-benar memerlukan dan daripada itu kita boleh mengalihkan peruntukan tersebut kepada hal hal lain bagi membantu merancang semula ekonomi negara," katanya lagi.
Bukan ka dulu Presiden kata, ringgit jatuh sbb hang tak pandai jaga negara?