Aplikasi ADIL yang dibangunkan bagi memudahkan anggota KEADILAN mengundi dalam talian dikesan memiliki beberapa kelemahan yang seharusnya diperbaiki segera menjelang pengundian secara dalam talian pada 17 Mei ini.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, dalam kes terbaharu di pusat pengundian fizikal di Melaka, seorang anggota KEADILAN mendakwa namanya telah didaftarkan dalam aplikasi ADIL, sedangkan beliau tidak bebuat demikian.
"Tadi kita kenal pasti pengundi lelaki umur 70-an yang dia sendiri pakai telefon lama tiada internet tapi bila nak undi fizikal, dalam sistem (ADIL) dia adalah pendaftar atas talian.
"Bila kita call nombor dalam daftar itu, ia milik seorang anak muda yang tiada kaitan langsung dengan warga emas itu dan saya lihat ini adalah antara kelemahan aplikasi yang harus diberi perhatian walaupun ia mungkin kes terpencil," katanya dipetik MalaysiaGazette ketika ditemui di Pusat Pengundian Cabang Hang Tuah Jaya.
Selain itu, calon naib presiden dan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya berkenaan juga mendakwa terdapat kemungkinan aplikasi berkenaan boleh digodam dan hal itu menimbulkan kekhuatiran mengenai perjalanan pengundian secara atas talian selama 3 hari mulai esok.
"Ada kelemahan kemungkinan sistem itu boleh digodam yang dikhuatiri ianya boleh mengganggu proses pengundian dan ini adalah suatu isu yang Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) perlu ambil perhatian.
"Contohnya, jika pengundi itu undi saya, tiba-tiba diubah tekan calon lain, jadi ini boleh berlaku," katanya.
Proses pengundian fizikal di Melaka hari ini menyaksikan kira-kira 27,000 ahli layak untuk keluar mengundi bermula pukul 9.30 pagi sehingga 5.30 petang, melibatkan kesemua enam cabang iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Kota Melaka, Hang Tuah Jaya dan Jasin.
Comments