top of page

Kelayakan BUDI Diesel boleh dipindah kepada ahli keluarga - Dr Fuziah

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 19 hours ago
  • 2 min read

Pengguna kenderaan diesel yang layak menerima subsidi menerusi program BUDI MADANI dibenarkan memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada ahli keluarga yang merupakan pengguna sebenar kenderaan berkenaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar).


Beliau berkata pemindahan itu boleh dilakukan tanpa perlu menukar hak milik kenderaan, selagi kenderaan tersebut digunakan oleh pasangan, anak, ibu bapa atau adik-beradik pemilik berdaftar.


"Jika kenderaan diesel didaftarkan atas nama anda tetapi sebenarnya digunakan oleh pasangan, anak, ibu bapa atau adik-beradik, maka anda tidak perlu tukar hak milik kenderaan.


"Anda hanya boleh memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada pengguna sebenar melalui portal BUDI MADANI," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, sebagai contoh, sekiranya sebuah kenderaan masih didaftarkan atas nama ibu tetapi digunakan setiap hari oleh anak, kelayakan subsidi boleh dipindahkan kepada anak sebagai pengguna sebenar.


"Jika kenderaan diesel masih didaftarkan atas nama seorang ibu tetapi digunakan setiap hari oleh seorang anak, ibu tersebut boleh memindahkan kelayakan BUDI Diesel kepada anaknya. Pindahan ini hanya dibenarkan sekali dan kepada seorang penerima sahaja," katanya.


Selain itu, kata Fuziah kerajaan turut menyediakan pengecualian fi Tukar Hak Milik (THM) selama tiga bulan kepada mereka yang ingin menukar nama pemilik kenderaan bagi memudahkan urusan mengemas kini rekod di Jabatan Pengangkutan Jalan.


"Bagi mereka yang memang ingin menukar nama pemilik kenderaan pula, kerajaan turut memberikan pengecualian fi Tukar Hak Milik (THM) selama tiga bulan bagi memudahkan urusan mengemas kini rekod pemilikan di JPJ," katanya.


Beliau berkata langkah itu diperkenalkan bagi memastikan subsidi diesel benar-benar dinikmati oleh pengguna sebenar serta mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan.


Dr Fuziah turut mengingatkan bahawa kelayakan asas BUDI Diesel adalah sebanyak 200 liter sebulan, manakala pemilik pikap atau jip persendirian yang layak boleh memohon tambahan 100 liter.


"Sebagai peringatan, kelayakan asas ialah 200 liter sebulan. Bagi pemilik pikap atau jip persendirian yang layak, mereka boleh memohon tambahan 100 liter, menjadikan jumlah keseluruhan 300 liter sebulan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page