top of page

Kelas tuisyen Yayasan Wilayah: 267 pelajar B40 catat peningkatan prestasi akademik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read
 Dr Abdul Basir menyerahkan anugerah kepada pelajar cemerlang Program Kelas Tuisyen SPM dan 3M
 Dr Abdul Basir menyerahkan anugerah kepada pelajar cemerlang Program Kelas Tuisyen SPM dan 3M

Seramai 267 pelajar daripada komuniti Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Wilayah Persekutuan berjaya menamatkan Program Kelas Tuisyen SPM dan 3M anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Yayasan Hasanah, sekali gus mencatat peningkatan memberangsangkan dalam pencapaian akademik.


Majlis penutup program disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed di Kompleks Arena Sukan.


Program yang berlangsung dari Disember 2024 hingga Mac 2026 itu merupakan antara inisiatif strategik YWP bagi memperkasakan pendidikan anak-anak Wilayah Persekutuan menerusi penyediaan kelas tuisyen, modul pembelajaran komprehensif dan bimbingan akademik secara berterusan.


"Program ini merupakan antara inisiatif strategik Yayasan Wilayah Persekutuan dalam memperkasakan pendidikan anak-anak Wilayah Persekutuan melalui penyediaan kelas tuisyen, modul pembelajaran yang komprehensif serta bimbingan akademik secara berterusan," kata kenyataan dikeluarkan Jabatan Pembangunan Komuniti, Komunikasi Strategik & IT YWP.

Dr Abdul Basir menyampaikan ucapan
Dr Abdul Basir menyampaikan ucapan

Program berkenaan melibatkan 113 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 154 pelajar Program 3M (Membaca) yang mengikuti sesi pembelajaran di enam Pusat Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) YWP di Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Setiawangsa, Cheras dan Wangsa Maju.


Sebanyak RM498,000 diperuntukkan bagi menjayakan program itu dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta beberapa rakan strategik lain.


Program berkenaan turut merekodkan pencapaian positif apabila 86 peratus peserta Program 3M berjaya mencapai KP32 Bahasa Melayu, manakala 84 peratus pelajar SPM mencapai KP9 Matematik.


Selain itu, semua peserta SPM berjaya memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia, dengan 55 peratus memperoleh sekurang-kurangnya Gred C bagi Bahasa Inggeris dan 40 peratus memperoleh sekurang-kurangnya Gred C bagi Matematik. Beberapa peserta turut mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 5A dan ke atas.


"Kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran yang dilaksanakan menerusi kerjasama erat antara YWP, institusi pendidikan, guru, ibu bapa serta rakan strategik dalam membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar," kata kenyataan itu.


YWP memaklumkan bahawa sejak penubuhannya pada 1986, yayasan itu terus komited memperkasa pembangunan modal insan melalui pelbagai program pendidikan dan kebajikan, selain memperkukuh tadbir urus menerusi pengurusan dana yang telus sebagaimana dibuktikan dalam Laporan Audit Tahun Kewangan 2024 dan 2025.


Yayasan itu berharap program seumpama berkenaan dapat diperluaskan pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai generasi muda Wilayah Persekutuan yang cemerlang, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page