Kelas KAFA di Sekolah Kebangsaan bakal ditambah, tangani keciciran
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI berhasrat menambah bilangan Kelas al-Quran Fardu Ain (KAFA) di sekolah kebangsaan pada 2026 sebagai sebahagian usaha menangani keciciran sekaligus memantapkan pendidikan kerohanian pelajar Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar (gambar) berkata, ketika ini murid berdepan gaya hidup digital yang menyebabkan tumpuan terhadap pembelajaran agama semakin terhakis.
Selain itu, faktor kekangan lokasi dan capaian, khususnya di kawasan tiada sekolah agama berdekatan, pertindihan jadual dengan kelas tambahan atau aktiviti kokurikulum di Sekolah Kebangsaan (SK) menjadi faktor kepada isu keciciran subjek tersebut.
"Penambahan bilangan KAFA di Sekolah Kebangsaan diyakini dapat mengurangkan keciciran kerana pelajar dapat mengikuti di sekolah yang sama tanpa perlu berpindah ke lokasi lain.
"Kerajaan akan terus meneliti keperluan pendidikan al-Quran dan fardu ain di kawasan mempunyai penduduk padat dan memperluas penawaran KAFA," katanya dipetik.
Dr Mohd Na'im berkata begitu sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat mengenai rancangan kementerian menangani isu-isu berkaitan faktor keciciran pelajar Muslim untuk mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Wilayah Persekutuan.
Sementara itu jelasnya, usaha menambah kelas KAFA itu bakal dilaksanakan bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) secara berfasa.
Usaha meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pembentukan asas aqidah, ibadah dan akhlak anak-anak turut dipergiat, agar pendidikan KAFA kekal relevan serta menjadi tumpuan utama dalam pembangunan sahsiah generasi muda.









Comments