Kelantan berisiko dilanda banjir teruk jika KSAS diteruskan - NGO
- Suara Keadilan
- Nov 7, 2023
- 1 min read

Kerajaan Negeri Kelantan diberi amaran bakal berdepan banjir lebih teruk berbanding pada 2014 jika cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) membabitkan 514,898 hektar diteruskan.
Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) Hafizudin Nasarudin berkata, situasi itu akan berlaku apabila hutan yang berfungsi sebagai tempat menyimpan air sudah dibuka secara besar-besaran seperti dicadangkan.
Hafizudin menjangkakan Lembangan Sungai Kelantan termasuk Pasir Mas, Kota Bharu, Kuala Krai akan terjejas dengan keputusan itu.
"Pengubahsuaian KSAS akan memberi ruang kepada Kerajaan Negeri meluluskan banyak lagi aktiviti pembangunan tidak mampan seperti pembalakan, pembukaan ladang dalam kawasan hutan simpan.
"Apabila berlaku hujan lebat terutama Kelantan yang saban tahun berlaku banjir, maka air hujan berkenaan terus masuk ke sungai dengan membawa lumpur memandangkan pembukaan hutan secara besar-besaran dilakukan.
"Daerah yang berada di sepanjang lembangan Sungai Kelantan akan menerima padah dan tidak mustahil banjir di Kelantan akan lebih teruk berbanding 2014 sekiranya cadangan itu diteruskan," katanya dipetik.
Dalam pada itu, Hafizudin turut melahirkan rasa bimbang langkah tersebut akan memusnahkan habitat hidupan liar selain perkampungan penduduk terutama di Hulu Kelantan.
Ia juga tegasnya akan membawa pelbagai masalah membabitkan sektor makanan, keselamatan dan bekalan air.
"Jika melihat keadaan sekarang pun, sudah berapa penduduk Orang Asli yang meninggal dunia akibat dibaham harimau, berapa banyak penduduk kerugian akibat tanaman dimusnahkan oleh gajah.
"Cadangan KSAS itu akan membahayakan hidupan liar dan berharap ia dipertimbangkan sebelum terlambat," katanya lagi.
Comments