top of page

Kelangsungan KEADILAN: Perbezaan pendapat diraikan, berasaskan adab - David Cheong

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young (gambar) menggesa pihak tertentu agar menghentikan tindakan yang menjadi 'duri dalam daging' susulan kebimbangan terhadap perpecahan dalaman parti yang boleh menjejaskan kestabilan dan agenda reformasi dibawa KEADILAN.


Beliau berkata, dalam politik, perjuangan harus berteraskan ideologi dan KEADILAN merupakan parti reform manakala reformasi adalah wadah utama yang menjadi tunjang kepada perjuangan.


"Namun, sejak akhir-akhir ini, hala tuju tersebut seolah-olah dicemari oleh percaturan individu yang lebih mementingkan ego daripada kepentingan rakyat.


"Berhentilah bersikap sensitif melampau. Bermuhasabah diri sebelum terus menyerang Presiden (Datuk Seri Anwar) secara terbuka.


"Dalam berorganisasi, perbezaan pendapat itu diraikan tetapi biarlah berasaskan adab, bukannya cubaan untuk meruntuhkan kredibiliti ketua sendiri," katanya dalam satu kenyataan.


David yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional KEADILAN Selangor, turut mengimbau kembali ucapan penggulungan Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam Kongres Nasional KEADILAN ke-16 di Shah Alam pada 17 Julai 2022.


Katanya, ketika itu Saifuddin menitipkan pesanan mendalam agar setiap ahli sentiasa memelihara ukhwah, adab dan akhlak dalam bersuara.


Turut dipesan oleh Saifuddin kata David ialah Datuk Seri Anwar wajar dihormati bukan sekadar atas kapasiti kepimpinan tetapi atas dasar senioriti, kematangan pengalaman dan limpahan pengalaman yang luar biasa.


"Meskipun perlu membuat teguran, ia harus disampaikan dengan penuh tertib. Harus diakui, bukan mudah untuk mengemudi negara keluar daripada kerugian besar sambil memulihkan keyakinan pelabur antarabangsa.


"Namun Anwar telah membuktikannya demi kelangsungan masa depan negara. Di peringkat peribadi, saya juga pernah diuji apabila tewas teruk dalam pemilihan jawatan Ketua Cabang Kuala Langat pada tahun lepas.


"Walaupun tidak mendapat restu perwakilan saya tidak berputus asa. Perjuangan saya bukan untuk mengejar jawatan tetapi kerana idealisme reformasi yang menjadi nadi parti ini.


"Saya memilih untuk terus melangkah ke hadapan (move forward) dan konsisten dengan agenda reformasi.


"Hentikan tindakan yang menjadi duri dalam daging kepada perjuangan kita. Muhasabah sebelum Tuhan menarik semula nikmat kuasa yang dipinjamkan," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page