Kelab motorsikal buka ruang anak muda bina jaringan perniagaan, pendidikan
- Akmal Manaf

- 48 minutes ago
- 1 min read

Kelab permotoran semakin membuktikan peranannya bukan sekadar sebagai wadah menghimpunkan peminat motosikal, malah mampu menjadi jambatan kepada kebajikan, pendidikan dan jaringan ekonomi dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, Kerajaan Selangor melalui Rancangan Selangor Kedua (RS-2) mempunyai pelbagai aktiviti antaranya berkaitan permotoran yang boleh dimanfaatkan untuk mendekati golongan muda sekali gus memperkenalkan program dan inisiatif kerajaan negeri.
Beliau berkata, kewujudan persatuan atau kelab permotoran yang menghimpunkan ratusan ahli memudahkan kerajaan mendekati golongan berkenaan tanpa perlu mencari mereka secara individu, selain membolehkan pelbagai isu dan keperluan disampaikan melalui persatuan.
"... penglibatan dalam kelab permotoran turut membuka ruang kepada anak muda untuk membina jaringan dalam bidang perniagaan, pendidikan dan pelbagai aktiviti lain di samping belajar serta bertukar pengalaman antara satu sama lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun Kelab Motor Sahabat Royal Enfield, semalam yang menghimpunkan kira-kira 600 penunggang motosikal.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada S Kathiravan atas pencapaiannya mengelilingi 109 negara dengan menunggang motosikal.
Menurut Gunaraj, kelab berkenaan melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan melibatkan sekolah, individu dan golongan B40, termasuk menyalurkan baucar RM500 kepada setiap lima keluarga sempena sambutan ulang tahun kelab itu.
Katanya, kelab tersebut turut menyumbang RM300 kepada setiap 26 murid daripada dua sekolah menggunakan dana sendiri.




Comments