
Kekurangan bekalan kelapa di Terengganu yang dihadapi sejak kebelakangan ini menunjukkan kelemahan pentadbiran Menteri Besar (MB) Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam merancang kegunaan tanah di negeri itu.
Menurut Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, Dr Samsuri telah menjadi MB selama tujuh tahun dan sepatutnya masalah kekurangan kelapa telah selesai pada penggal lalu.
Katanya, ucapan tahniah MB kepada anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Golden Pharos Bhd (GPB) baru baru ini kerana mengimport kelapa dari Indonesia tidak memberi penyelesaian menyeluruh kepada kekurangan bekalan bahan asas masakan rakyat Terengganu itu.
"(MB ucap) tahniah kepada Golden Pharos kerana mengambil langkah pro aktif menangani krisis kelapa.

"Sedangkan tindakan Golden Pharos hanyalah mengimport kelapa dari luar negara. Permit import diperolehi dari Kementerian Pertanian di bawah Kerajaan Persekutuan.
"Persoalannya, di mana langkah Kerajaan Negeri untuk menangani isu kekurangan bekalan kelapa di Terengganu khususnya?
"Import tidak selesaikan masalah," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Ahmad Nadhir, MB Samsuri seharusnya mempunyai wawasan yang jauh ke hadapan sebagaimana Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya mahu terus dibandingkan dengan tokoh karismatik itu sebagai calon PM ke 11.
Katanya, biarpun pada waktu ini Kerajaan Negeri merancang membangunkan tanaman kelapa di atas tanah seluas kira-kira 490 hektar di daerah Setiu, namun hal itu tidak cukup kerana Terengganu sepatutnya boleh menjadi hab pengeluar kelapa di Semenanjung memandangkan muka buminya di sepanjang jajaran timur adalah pantai menghadap laut dengan tanah berpasir yang amat sesuai untuk tumbesaran kelapa.
Menurut Ahmad Nadhir, MB Terengganu tidak sewajarnya menganggap masalah kekurangan kelapa selesai dengan mengimport, sebaliknya perlu memikirkan untuk menjadikan negeri itu sebagai pengeluar kelapa utama di Semenanjung.
Untuk rekod, bekalan kelapa tua kira-kira 30,000 biji atau 30 tan telah diterima oleh pengimport di Terengganu daripada pembekal minggu lalu.
Bekalan kelapa itu diagihkan kepada pemborong di seluruh negeri sehingga ke Kelantan. Harga ditawarkan kepada pemborong antara RM2.90 dan RM3.20 sebiji bergantung kepada jumlah kuantiti.
Comments