Kekalkan PH demi pembangunan berterusan di Negeri Sembilan


Prestasi Kerajaan MADANI di Persekutuan dan pentadbiran Negeri Sembilan menjadi bukti bahawa kerajaan yang stabil mampu membawa pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengira kaum.
Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj (gambar) berkata, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun telah mengemudi Negeri Sembilan dengan baik dan membawa pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat.
Namun usaha tersebut tegasnya tidak akan dapat diteruskan sekiranya Pakatan Harapan (PH) gagal mendapat sokongan dan mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
"Tok Min telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri dengan baik. Kita mempertahankan pencapaian itu," katanya.
Yuneswaran berkata begitu pada ceramah kelompok di Jentera Daerah Mengundi (JDM) Pusat Bandar bagi membantu kempen calon PH DUN Palong, Zahin Zinal @ Bong.
Sementara itu Yuneswaran menyifatkan Zahin sebagai anak muda tempatan yang memahami keperluan serta aspirasi penduduk.
Katanya, pengalaman Zahin di peringkat akar umbi, digabungkan dengan semangat dan kesungguhan untuk berkhidmat, menjadikannya calon yang mampu membawa suara rakyat di kawasan itu.
"Undilah HARAPAN dan berikan mandat kepada Saudara Zahin Zinal @ Bong untuk meneruskan agenda pembangunan bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan MADANI," katanya.
Dalam ucapannya, Yuneswaran yang juga Timbalan Menteri Perpaduan menegaskan, kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang hidup dalam suasana saling menghormati.
Justeru beliau mengingatkan pengundi supaya tidak terpengaruh dengan politik yang memainkan sentimen perkauman dan perpecahan.




Comments