top of page

Kekalkan mandat PH, selamatkan Negeri Sembilan - Anwar

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 9 hours ago
  • 3 min read
DS Anwar menekankan perlunya politik NS stabil bagi meneruskan pembangunan dalam ceramah di Nilai
DS Anwar menekankan perlunya politik NS stabil bagi meneruskan pembangunan dalam ceramah di Nilai

Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat rayuan terakhir kepada rakyat Negeri Sembilan supaya mengekalkan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini, dengan menegaskan kestabilan politik amat penting bagi memastikan kerajaan dapat memberi tumpuan kepada pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.


Berucap pada program Jelajah Kekal Pakatan Harapan yang menjadi grand finale kempen PH menjelang hari pengundian, Perdana Menteri berkata beliau tidak mahu Negeri Sembilan terus dibelenggu polemik yang mengganggu pentadbiran sehingga menjejaskan agenda pembangunan dan ekonomi negeri.


Anwar berkata beliau menghormati institusi pemerintahan negeri dan adat yang diamalkan, namun menegaskan perkara itu tidak seharusnya mengalih perhatian daripada usaha membangunkan negeri.


"Baik-baik negeri elok, paksa pilihanraya. Baik-baik saya boleh buat kerja... terpaksa datang (kempen)," kata Anwar yang juga Pengerusi PH di hadapan lebih 1,000 penduduk pelbagai kaum di Nilai malam tadi.


"Saya ke mari minta tolong selamatkan Negeri Sembilan. Minta tolong supaya kedudukan Yang di-Pertuan Besar, (dan) Undang amanlah. Buat apa nak jadi besar."


Perdana Menteri menjelaskan, meski perkara itu soal Negeri Sembilan, beliau boleh meminta Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Ketua Setiausaha Negara memanggil semua pihak untuk berunding.


Namun kata Anwar, beliau kekal dengan pendirian untuk tidak campur tangan dalam isu adat.


"Mana boleh hari ini Yang di-Pertuan (Besar) ini, esok yang sana. Teruklah kita. Saya tak nak orang tanya siapa. Saya tak campur. Saya tahu soal undang-undang dan adat.


"Tetapi kita nak selamat (Negeri Sembilan), tumpulah ekonomi. Rakyat ni susah walaupun kita tolong...," katanya.


Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Digital Gobind Singh Deo serta calon PH DUN Nilai, J. Arul Kumar dan DUN Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak.


Anwar mengingatkan bahawa kestabilan politik cukup penting bagi membolehkan kerajaan menumpukan sepenuh perhatian kepada ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan rakyat.


"Saya harap kita gunakan waktu yang tinggal ini sebaiknya."


"Saya datang ini sebenarnya nak merayu supaya kerajaan boleh jalan baik, supaya Negeri Sembilan jadi kuat," katanya.


Sementara itu, Perdana Menteri mengakui masih banyak isu rakyat yang perlu diselesaikan, namun pentadbirannya tidak pernah berhenti berusaha memperbaiki keadaan.


"Kita dah buat sedaya upaya kita. Cukup? Belum. Saya orang pertama yang mengaku, mohon maaf kalau ada apa-apa kekurangan dan kelemahan.


"Apakah dah selesai kesemua masalah? Tak. Ada rumah yang belum siap, ada rumah orang miskin yang belum dibaiki, ada masalah Orang Asli yang belum selesai dan ada masyarakat India yang masih ketinggalan.


"Saya pun kerja daripada pagi sampai malam, tujuh hari seminggu, masih belum selesai. Tapi beza dia, kita kerja ikhlas. Saya tak ambil duit rakyat," ujarnya.


Dalam ucapannya, Anwar turut mengulas keputusan Kabinet hari ini yang memutuskan supaya Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji didedahkan kepada umum selain mengarahkan siasatan lanjut dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia serta agensi berkaitan.


Beliau menegaskan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak dan menyerahkan sepenuhnya kepada proses siasatan mengikut undang-undang.


"Saya tak tuduh siapa salah. Saya tak tahu. Biar siasatan dilakukan.


"SPRM, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara dan AMLA bongkar, siasat semuanya sekali," katanya.


Dalam pada itu, berkata usaha memulihkan ekonomi negara kini mula membuahkan hasil dengan pengukuhan nilai ringgit, peningkatan pelaburan dan pelaksanaan dasar baharu termasuk pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta ekonomi digital.


"Saya nak buktikan Malaysia is a great country. The Malaysians are great people."


"Ringgit terkuat di Asia. Kita tumpu kepada kerja, kita tumpu kepada ekonomi."


"Menggapai di langit, mengakar ke bumi...," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page