Kekalahan calon Perikatan Nasional (PN) yang dipropagandakan sebagai 'pembela Melayu' di tangan calon DAP, Pang Sock Tao di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) semalam memberi isyarat amalan politik sederhana lebih diterima oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Bagi Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan, dengan demografi pengundi KKB yang mana kaum bukan Melayu hampir sama banyak dengan Melayu maka nilai kemajmukan Malaysia amat penting dipelihara.
Katanya, kemenangan itu merupakan satu pengiktirafan kepada gaya pentadbiran Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari di Selangor yang saksama ke atas semua kaum.
"Kemenangan ini menunjukkan keyakinan rakyat pada Kerajaan Selangor yang diterajui oleh MB Datuk Seri Amirudin Shari masih utuh dan memberi mesej jelas bahawa dasar Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kian diterima rakyat.
"Sokongan rentas kaum yang diperolehi oleh Sdri Pang akhirnya membawa kemenangan buat Kerajaan Perpaduan dan menunjukkan bahawa konfigurasi politik berteraskan perpaduan dan kebersamaan adalah formula terbaik untuk Selangor dan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebaliknya, menurut Syahredzan di pihak PN pula, kekalahan itu membuktikan permainan isu perkauman seperti sekolah vernakular, Melayu hilang kuasa seperti di Singapura dan sebagainya tidak laku di KKB.
"Isu sekolah vernakular, agama dan bangsa calon yang bertanding serta sentimen ‘Melayu hilang kuasa’ telah dimainkan oleh pemimpin PN semasa kempen ini.
"Malahan, jentera PN tidak menawarkan apa-apa yang menarik buat pengundi KKB dan hanya membawa polemik isu 3R.
"(Oleh itu) kekalahan PN di PRK Kuala Kubu Baharu membuktikan kempen menggunakan isu 3R gagal menawan hati majoriti pengundi di DUN tersebut.
"Kekalahan ini seharusnya menjadi ‘wake up call’ kepada PN untuk meninggalkan politik pecah-belah dan toksik yang seringkali diguna mereka.
"Jelas bahawa politik seperti ini membawa pulangan yang kian berkurangan (diminishing returns) dan tidak mampu untuk menawan negeri seperti Selangor mahupun negara Malaysia," katanya.
Justeru, Ahli Parlimen Bangi berkenaan menyeru agar PN bermuhasabah dan menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara pelbagai kaum dan agama, dan hanya politik kesederhanaan dan perpaduan boleh merangkul sokongan daripada segenap lapisan masyarakat.
Comentarios