Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Cabang Sipitang medan semai bakat sukan
- Suara Keadilan

- Sep 9
- 1 min read

Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Cabang KEADILAN P.178 Sipitang dianjurkan di Kampung Pasir Putih, Ulu Sipitang dan dirasmikan sendiri oleh Ketua Cabang, Wendey Agong Baruh, baru baru ini.
Kejohanan selama dua hari ini bukan sekadar saingan di gelanggang, malah menjadi medan mempersiapkan pemain ke peringkat lebih tinggi, sama ada daerah mahupun negeri.
"Kejohanan dua hari ini bukan sekadar pertandingan, tetapi medan persediaan sebelum ke pentas lebih tinggi, selain menjadi simbol penyatuan masyarakat, semangat anak muda dan platform melahirkan bakat baharu.
"Ia juga menjadi wadah penting untuk memupuk semangat kesukanan dalam kalangan belia, sekali gus melahirkan generasi berdisiplin, berdaya saing dan berjiwa besar," ujar Wendey dalam ucapan perasmiannya.
Lebih menarik, beliau turut mengumumkan pertambahan hadiah berganda sebagai dorongan kepada pasukan bertanding iaitu Johan RM2,000 daripada RM1,000 sebelumnya, Naib Johan RM1,400 (daripada RM700), dan Ketiga RM800 (daripada RM400).
"Langkah ini membuktikan sokongan kepimpinan terhadap pembangunan sukan, sekali gus meningkatkan prestij kejohanan dan mengharumkan nama Sipitang di persada negeri serta kebangsaan," tambah beliau.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Wanita KEADILAN Sipitang, Junaidah Makku @ Junn; Timbalan Ketua Cabang, Presley Kurus; Saidi Ali (Pasukan Pembimbing Lapangan), Noraishah Malulur (Timbalan Ketua AMK Cabang Sipitang), barisan AJK Cabang, Ketua PDM Ulu Sipitang, Iswaddey serta pimpinan Wanita, Srikandi dan Angkatan Muda KEADILAN.









Comments