top of page

Budaya integriti perlu jadi DNA setiap organisasi - Johari Abdul

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
7 minutes ago
1 min read
Tan Sri Johari Abdul. Gambar arkib
Tan Sri Johari Abdul. Gambar arkib

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyeru supaya Unit Integriti yang diwujudkan dalam setiap organisasi diperkasa sebagai rakan strategik untuk mengenal pasti risiko rasuah lebih awal.


Menurutnya,pencegahan rasuah perlu bermula sebelum sesuatu kes berlaku menerusi tatakelola yang baik, sistem kawalan berkesan, pendidikan, budaya kerja dan nilai yang ada dalam diri setiap individu.


Justeru, kejayaan Unit Integriti menurutnya bukan semata-mata diukur berdasarkan jumlah kes ditemui, sebaliknya berdasarkan keupayaan mengenal pasti risiko lebih awal, memperbaiki kelemahan sistem dan menjadikan budaya integriti sebahagian daripada DNA organisasi.


"Unit Integriti tidak seharusnya dilihat hanya sebagai unit yang mengurus aduan atau pematuhan selepas sesuatu pelanggaran berlaku.


"Sebaliknya, sebagai rakan strategik kepada pengurusan dalam mengenal pasti risiko lebih awal, memperbaiki kelemahan sistem dan membina budaya integriti dalam organisasi," katanya dipetik laporan media.


Johari berkata begitu menerusi ucapan pada Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 di Putrajaya pada Jumaat.


Persidangan menghimpunkan penyelidik daripada enam universiti awam iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Turut hadir ke acara tersebut adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page