Kejohanan bowling KEADILAN Kuantan eratkan ikatan antara Ranting
- Suara Keadilan

- Oct 5
- 2 min read

KEADILAN Cabang Kuantan berjaya menganjurkan Kejohanan Bowling Antara Ranting sebagai inisiatif untuk merapatkan hubungan silaturahmi antara anggota dan pimpinan cabang serta ranting di peringkat akar umbi baru-baru ini.
Menurut Ketua Biro Sukan KEADILAN Kuantan, Mohd Supian Abdul Wahid, kejohanan yang merebut Piala Ketua Cabang KEADILAN Kuantan itu disertai lebih 100 anggota daripada 30 pasukan mewakili ranting masing-masing.
"Program ini dijayakan bersama oleh tiga buah ranting luar bandar di Parlimen Kuantan iaitu Ranting Kg Ubai, Ranting Kg Semangat dan Ranting Kg Cherok Paloh," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa program seumpama ini merupakan inisiatif berkala Cabang Kuantan untuk menggalakkan penglibatan aktif anggota ranting dalam aktiviti cabang, selain memperkukuh gerak kerja parti di peringkat masyarakat luar bandar.
"Program berkala ini mampu membantu semua ranting untuk memanfaatkan segala inisiatif kerajaan seperti penjanaan pendapatan komuniti menerusi program Sejati Madani selain memanfaatkan program-program yang digerakkan oleh agensi-agensi kerajaan menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) KPKT, Program Peningkatan Pendapatan (PPP) KKDW, program pemilikan rumah mesra rakyat (RMR) SPNB dan pelbagai lagi.

"Kekuatan akar umbi Cabang yang paling utama ialah kekuatan pergerakan Ranting di dalam meningkatkan jumlah keanggotaan parti dan mengukuhkan jentera parti di akar umbi terutama berdepan pilihan raya umum nanti," jelasnya.
Kejohanan kali ini menyaksikan Ranting Kampung Ubai muncul juara bagi kategori anggota lelaki, manakala Ranting Kampung Semangat menjuarai kategori anggota wanita.
Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Ketua Wanita KEADILAN Negeri Pahang, Sridayu Samsuri, bersama Ketua Ranting Kg Ubai, Rosli Omar, Ketua Ranting Kg Semangat, Rohaya Abu Bakar, dan Ketua Ranting Kg Cherok Paloh, Nor Adnan Md Nor.









Comments