top of page

'Kejayaan peroleh jaminan minyak Rusia, PM turunkan harga diesel'

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 day ago
  • 2 min read

Keterjaminan bekalan minyak dari Rusia selama 20 tahun membolehkan Kerajaan MADANI melakukan penyasaran subsidi diesel dengan lebih berkesan, sekali gus memberi kelegaan kepada rakyat dan peniaga kecil yang bergantung kepada bekalan bahan api berkenaan untuk meneruskan operasi.


Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, penurunan harga diesel mencerminkan itu juga keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan rakyat, khususnya terhadap pengusaha kecil kecilan.


"Paling mustahak, kita perlu faham bahawa kerajaan tidak menaikkan harga minyak sesuka hati. Keputusan itu dibuat dengan penuh tanggungjawab, mengambil kira keadaan bekalan bahan api yang terhad.

Muhammad Izuan Ahmad Kasim
Muhammad Izuan Ahmad Kasim

"Jadi, ia bukan berkenaan harga minyak murah atau paling mahal. Kalau harga minyak paling mahal sekalipun, tetapi bekalan tiada, sudah tentu peniaga tidak dapat bergerak dan ekonomi akan menguncup," katanya kepada Suara Keadilan ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, malam tadi.


Beliau diminta mengulas mengenai kejayaan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menurunkan harga diesel sekembalinya dari lawatan ke Rusia dan Turkmenistan, sekali gus memberi kelegaan kepada rakyat.


Mengulas lanjut, Muhammad Izuan berkata, langkah PM Anwar mendapatkan sumber bekalan alternatif menerusi kerjasama strategik dengan Rusia dan Turkmenistan itu telah memastikan keterjaminan bekalan minyak negara, yang sebelum ini terlalu bergantung kepada import minyak dari negara negara Teluk yang masih belum pulih berikutan konflik perang Amerika Syarikat dan Iran baru baru ini.


Susulan pendekatan itu, beliau yang juga ADUN Kota Damansara berharap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dapat menilai bahawa setiap keputusan Kerajaan MADANI dibuat berasaskan tanggungjawab, bukan semata-mata populariti, dengan memastikan golongan peniaga dan rakyat daripada kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan terus mendapat pembelaan sewajarnya.


Untuk rekod, Presiden Rusia Vladimir Putin sebagaimana dipetik media tempatan telah memberi jaminan mengenai kerjasama jangka panjang dengan Malaysia bagi memastikan bekalan minyak, gas dan diesel Malaysia terjamin dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.


Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Setia Fontaines Industrial Park di Setia Experience Centre, Bandar Setia Fontaines, baru baru ini.


Menurut PM, hasil itu diperoleh berikutan hubungan baik Malaysia dengan Russia yang membolehkan kedua-dua negara mencapai persefahaman berhubung bekalan tenaga dan ekonomi.


"Saya fikir Malaysia ini negara bebas dan merdeka, perlu berkawan dengan semua dan beri ruang supaya orang boleh melabur.


"Dalam lawatan baru ini, Presiden Putin bagi jaminan supaya ada perjanjian jangka panjang supaya bekalan minyak, gas dan diesel kepada Malaysia terselamat untuk kurang dari 20 tahun yang (ini lahir) hanya kerana persahabatan kita," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page