Penggal parlimen ke 14 telah berakhir dengan pembubaran yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Bagi Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia, Sim Tze Tzin, parlimen ke 14 memberi banyak pengalaman kepada rakyat sebagai pedoman untuk memilih kerajaan yang lebih baik pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15.
"Parlimen ke 14 sudah tentu akan terpahat dalam buku sejarah Politik Malaysia.
"Saya bangga sebagai salah satu Ahli Parlimen yang berjaya mencipta sejarah dan menjadi Timbalan Menteri Pertanian (2018-2020). Terima kasih kepada semua pengundi Bayan Baru yang mengundi saya," katanya.
Bagaimanapun beliau berpendapat kejayaan utama parlimen ke 14 ialah pertukaran kejayaan secara aman yang menggambarkan demokrasi semakin matang.
"Kita juga saksikan lonjakan paradigma, rakyat rasa berkuasa (empowerment) menentukan kerajaan.
"Pembentukan kerajaan bukan Umno-BN yang pertama. Umno bukan lagi "undefeatable".
"Pelbagai reformasi institusi demokrasi berjaya dilaksanakan. Ruang demokrasi, kebebasan bersuara, institusi kehakiman lebih merdeka.
"Juga pemenjaraan kleptokrat dan perasuah beramai-ramai berhadapan kehakiman," katanya.
Bagaimanapun tegas Sim, parlimen ke 14 juga menyaksikan kegagalan yang tidak dapat dimaafkan.
Katanya, berlaku pengkhianatan dan pembentukan kerajaan pintu belakang; rakyat kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan politik; kegagalan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional-Umno-Pas menyebabkan ekonomi, kos sara hidup, mata wang ringgit merudum; golongan kleptokrat kembali berkuasa dan Perdana Menteri lemah serta negara hilang hala tuju.
Semua itu, katanya perlulah dihindari agar parlimen ke 15 nanti akan menjadi lebih baik dan negara ditadbir secara berhemah
Comments