Kejayaan penganjuran semula Citrawarna semarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026
- Helmi Mohd Foad
- 31 minutes ago
- 2 min read

Kejayaan penganjuran semula Citrawarna 2026 selepas enam tahun kembali mewarnai ibu negara bukan sahaja menyemarakkan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) malah mendorong Tourism Malaysia komited menambah baik penganjurannya berdasarkan maklum balas orang ramai.
Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya merakamkan penghargaan atas sambutan hangat masyarakat terhadap program kebudayaan kebangsaan yang kembali diadakan di Dataran Merdeka selepas kali terakhir dianjurkan enam tahun lalu.
Menurut agensi itu, Citrawarna 2026 berjaya menghimpunkan lebih 3,500 penari dan penggiat seni dari seluruh negara yang mewakili pelbagai kaum menerusi Citra Perarakan, selain pelbagai aktiviti seperti Citra Rasa, Citra Budaya dan Citra Seni sepanjang tiga hari penganjuran.
"Kejayaan ini adalah hasil dedikasi ribuan penari, kru produksi, sukarelawan, krew teknikal, pasukan keselamatan, logistik dan pengurusan pentas.
"Tourism Malaysia amat berterima kasih atas pengorbanan dan komitmen mereka semua," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Tourism Malaysia berkata, pihaknya menghargai pelbagai maklum balas yang diterima daripada orang ramai, khususnya berkaitan susun atur dan garis penglihatan penonton, ketepatan atur cara program serta penggunaan teknologi dan kandungan kreatif dalam sebahagian persembahan.
Selain itu, katanya, terdapat juga cadangan supaya lebih ramai komposer, pemuzik dan penggiat kreatif tempatan dilibatkan dalam penghasilan kandungan persembahan pada masa hadapan.
"Sebarang perkara lain yang dibangkitkan akan disemak dan diambil tindakan susulan sewajarnya.
"Tourism Malaysia komited memastikan penambahbaikan berterusan bagi program-program akan datang, selaras usaha memartabatkan warisan budaya kebangsaan menerusi VM2026," katanya.
Citrawarna 2026 yang berlangsung di Dataran Merdeka dari 25 hingga 27 Julai lalu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Penganjuran semula festival kebudayaan kebangsaan itu menjadi antara acara utama Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi mengetengahkan kepelbagaian budaya, seni dan warisan negara kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.
Ketika merasmikan festival itu, Anwar berkata kekuatan Malaysia tidak hanya diukur melalui pencapaian ekonomi dan pembangunan fizikal sebaliknya turut diserlahkan menerusi kekayaan seni, budaya dan keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi identiti negara.
Beliau menegaskan warisan budaya perlu terus dipelihara dan diperkasakan kerana ia bukan sekadar khazanah negara, malah aset penting dalam memperkukuh perpaduan rakyat serta meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 bertujuan mengetengahkan kepelbagaian tarikan pelancongan negara, kekayaan warisan budaya serta memperkukuh pembangunan pelancongan mampan yang memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat dan pemain industri.
