top of page

Kejayaan Kerajaan MADANI: N Sembilan negeri pertama basmi miskin tegar

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
Jul 24
2 min read
Datuk Romli menerangkan dasar Kerajaan MADANI membasmi kemiskinan tegar. Turut hadir kartunis Zunar
Datuk Romli menerangkan dasar Kerajaan MADANI membasmi kemiskinan tegar. Turut hadir kartunis Zunar

Usaha Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan tegar membuahkan hasil apabila Negeri Sembilan muncul sebagai negeri pertama di Malaysia yang mencapai sifar kemiskinan tegar pada 2023.


Setiausaha Politik Kanan Pejabat Presiden KEADILAN, Datuk Romli Ishak berkata, pembasmian kemiskinan tegar merupakan antara keutamaan dalam kerangka Malaysia MADANI yang menekankan aspek kesejahteraan rakyat melalui usaha memastikan setiap isi rumah mempunyai pendapatan mencukupi untuk meneruskan kehidupan.


Beliau berkata, golongan miskin tegar ialah mereka yang memperoleh pendapatan tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas harian, justeru Kerajaan MADANI menetapkan sasaran untuk menoktahkan kategori tersebut sebelum memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kadar kemiskinan secara keseluruhan.


"Antara benda yang Datuk Seri Anwar tekankan (dalam pentadbirannya) ialah hendak basmi kemiskinan tegar. Ada orang gelakkan beliau. Mana boleh basmi kemiskinan?


"Kalau dah basmi kemiskinan tegar, siapa nak terima zakat? Tapi Datuk Seri Anwar (tetap) kata kita nak menoktahkan kemiskinan tegar.


"Alhamdulillah tuan-tuan, tahun 2023 Negeri Sembilan menjadi negeri pertama sifar kemiskinan tegar. Selepas selesai kemiskinan tegar, kita nak kena selesaikan masalah kemiskinan (pula).


"Kemudian diikuti oleh Selangor dan Pulau Pinang. Alhamdulillah ketiga-tiga negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) kita selesaikan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Borak Santai Belia Sahabat MADANI bersama di Balai Raya Kampung Baru Blok C, Ampangan, Seremban, malam tadi yang dihadiri masyarakat setempat.


Menceritakan lanjut mengenai perjuangan PM Anwar dalam membela nasib rakyat, Romli mengimbas kembali demonstrasi di Baling pada 1974 yang tercetus susulan masalah kemiskinan membelenggu penoreh getah dan pekebun kecil di daerah itu.


Romli yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Kedah berkata, kebanyakan penoreh getah dan pekebun kecil ketika itu hidup dalam kemiskinan sehingga mencetuskan demonstrasi di Baling pada 1974, yang akhirnya menyaksikan PM Anwar ditahan dan dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


"50 tahun kemudian beliau naik jadi Perdana Menteri (dan) perkara pertama dibuat beliau ialah pergi semula ke Baling dan umumkan kenaikkan harga lantai bagi getah.


"Hari ini harga lantai getah ditetapkan pada RM3.50 sekilogram dan tidak akan turun di bawah paras itu. Bagi pekebun getah kecil yang menjual lateks, kerajaan turut memberi insentif tambahan RM2 bagi setiap liter, sekali gus membolehkan mereka memperoleh sekitar RM11 hingga RM12 seliter berdasarkan harga pasaran semasa.


"Kalau rajin menoreh lebih tujuh hari dalam sebulan, akan dapat insentif RM200. Kalau lebih rajin lagi dan hasil kutipan setahun melebihi tiga tan, akan dapat bonus RM1,500 melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM).


"Hari ini ada penoreh getah yang pendapatannya mencecah antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan," ujarnya lagi.


Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat di Negeri Sembilan yang banyak bergantung kepada pertanian dan perladangan agar terus memberi sokongan kepada Kerajaan Pakatan Harapan bagi menjana lebih banyak pembangunan negeri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page