
Kejatuhan nilai ringgit perlu dirawat dengan memperbetulkan tadbir urus negara atau governan, bukannya dengan penyesuaian dasar monetari semata mata atau kestabilan politik.
Hal itu ditegaskan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program Sembang Kencang KLS@Anwar Ibrahim, malam tadi.
Menurut mantan Menteri Kewangan Malaysia (1991 - 1998) itu, kejatuhan nilai ringgit hari ini tidak sama dengan serangan spekulator matawang pada 1997 lalu yang menyebabkan beberapa matawang negara Asia lain turut merudum.
"Kejatuhan nilai ringgit atau merudumnya itu (pada 1997) ada kaitan dengan soal antarabangsa. Ia ada kaitan soal pentadbiran negara sebelum dan selepasnya. Kalau lihat krisis 1997 - 98, pada masa itu yang diserang bath Thailand, Won Korea Selatan, Rupiah Indonesia dan baru sampai kepada kita. Rizab kita masih kuat dan belanjawan kita lebihan (ketika itu).
"Sekarang kalau kita bincang bukan soal kejatuhan sahaja. Ringgit jatuh, wang tak ada, pelaburan tak ada, kerajaan tak stabil. Itu kompleksiti yang harus kita tangani.
"Saya kata, kita perlu mula dengan penegasan governan. Ada kata kestabilan politik, itu sebahagiannya. Politik stabil itu juga (pernah) digunakan untuk merompak. Dukungan kehakiman, dukungan media, dukungan intelektual, negara stabil untuk merompak," katanya sinis mengingatkan era pentadbiran BN sebelum 2018.

Oleh itu, tegas Anwar, dengan tadbir urus yang baik maka dasar kewangan negara akan lebih jelas dan tidak meragukan pelabur asing untuk menanam modal. Ketelusan itu seterusnya akan mencambah ekonomi dan menjana peluang pekerjaan.
"Bagi saya isu governan mesti jelas. Jangan kata pimpinan wewenang begitu sahaja tanpa terkawal.
"Saya tak kata kita boleh atasi isu kejatuhan ringgit dengan segara atau keyakinan baharu pelabur tempatan atau pelaburan asing. Ia mengambil masa. Tetapi dengan kekuatan pengurusan yang lebih baik (negara mampu untuk pulih)," katanya lagi.