
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dilapor telah mengadakan siri perbincangan bagi membantu pekebun kecil getah dalam mendepani kejatuhan harga bahan mentah itu.
Menurut KPK, perbincangan rentas kementerian dan agensi dijalankan bagi memastikan program serta aktiviti lebih tuntas dapat dilaksanakan bagi tujuan meringankan beban pekebun dan penoreh getah.
"Kementerian amat prihatin mengenai isu kejatuhan harga getah dan kesannya kepada pekebun kecil serta penoreh di seluruh negara terutama mendepani kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Dalam usaha membantu penoreh getah dan pekebun kecil ini pihak kementerian dan LGM sudah mengadakan siri perbincangan membabitkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan untuk mengurangkan impak kejatuhan harga," kata KPK dalam satu kenyataan
Terdahulu, media menyiarkan rintihan penoreh getah sekitar daerah Baling, Kedah mendakwa kehidupan seharian mereka terjejas akibat kejatuhan harga komoditi itu ke paras RM2.20 sekilogram dan mahu isu hal itu diambil perhatian
KPK menjelaskan pelbagai faktor menyebabkan kejatuhan harga, antaranya peningkatan bekalan getah asli dan penurunan harga minyak mentah yang mempengaruhi permintaan getah sintetik berbanding getah asli serta kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat (AS)- China serta ketidaktentuan krisis Rusia-Ukraine
Kata kenyataan itu lagi, Malaysia yang sekadar menyumbang 4 peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia sememangnya tidak mempunyai kedudukan yang kuat untuk melakukan intervensi harga secara unilateral di pasaran antarabangsa.
Justeru antara usaha yang akan dilaksana kementerian adalah dengan memperkukuh Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang bertujuan mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga di pasaran rendah di samping menggalakkan mereka terus menoreh.
"Melalui pelaksanaan IPG, pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50 peratus kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram.
"Sejak IPG mula dilaksanakan pada September 2015 sehingga Disember 2022, IPG diagihkan kepada 202,533 pekebun kecil di seluruh negara dengan perbelanjaan berjumlah RM446 juta," kata kenyataan tersebut.
Kementerian juga akan memperkenalkan MyROL, satu kaedah pemasaran getah melalui tender atas talian bagi memastikan urus niaga lebih telus dan akan mendorong pencapaian harga tawaran yang lebih kompetitif kepada pekebun kecil.
Dalam pada itu, KPK berkata, Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) juga memberi peluang kepada pekebun kecil getah menambah pendapatan dengan memberi galakan kepada mereka untuk meningkatkan pengeluaran lateks.
"Bagi setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini, mereka akan menerima insentif tunai sebanyak RM 1.00/kg bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK).
"Peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM 850 bagi setiap hektar secara one-off," kata kenyataan itu.
Program lain yang sedang berjalan termasuklah Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) dan Permit Autoriti Transaksi-Getah (PAT-G) bagi mengelak kecurian getah milik pekebun kecil serta inovasi LGM yang merupakan satu aplikasi telefon pintar yang dapat memudahkan urusniaga getah oleh peniaga getah yang berdaftar dengan LGM.