top of page

Kehidupan rakyat tertekan hebat: KEADILAN P Pinang mahu PKP ditukar PKPP


Keresahan dan tekanan hidup yang melampau dihadapi rakyat Pulau Pinang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau lockdown memerlukan kajian semula oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Menurut Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pulau Pinang, MKN perlu mempertimbangkan untuk menamatkan PKP dan menukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang lebih longgar di beberapa daerah tertentu di pulau itu.


Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, akibat penutupan yang ketat dan tidak bersasar, ketegangan ekonomi semakin memuncak di negeri itu yang amat menekan kehidupan golongan B40.


"Keadaan sekarang menemui jalan buntu, masyarakat tenggelam punca. Kes harian Covid tetap tinggi walaupun PKP dilaksanakan. Kita harus akui pengalaman PKP yang pertama cukup berkesan dan secara tidak langsung menghasilkan keputusan yang baik dalam mencapai matlamat MKN. Pengalaman tersebut harus diambil dan diterjemahkan pada waktu ini yang dilihat kucar-kacir.


"Penutupan majoriti sektor ekonomi ditambah kekurangan sokongan kewangan dari Kerajaan Persekutuan menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan.


"Terlalu ramai pemilik perniagaan kecil dan sederhana memilih menutup premis mereka. Barang-barang mereka dijual bagi menampung kelangsungan hidup


"Dalam keadaan yang lebih teruk, sekatan ini menyumbang kepada korban nyawa. Di Pulau Pinang sahaja, 53 kes bunuh diri telah dilaporkan dalam 5 bulan terakhir. Kami percaya akibat tekanan hidup ekoran hilang punca pendapatan menyumbang kepada angka kematian ini," kata Bahktiar dalam satu kenyataan.


Menurut Ahli Parlimen Balik Pulau itu, keadaan Covid di Pulau Pinang realitinya bertambah baik sepanjang PKP. Katanya, pada 13 Jun - 19 Jun 2021, Pulau Pinang antara negeri yang mencatatkan kadar positif yang terendah iaitu 3.36%.


Manakala kes sporadik pula, pulau itu mencatatkan kedudukan kedua yang paling rendah di negara ini, iaitu 38.36%.


"MKN seharusnya menggunakan langkah-langkah kawalan dan pendekatan PKP yang lebih baik dan bersasar bagi setiap negeri


"Dengan jangkitan yang terkawal kerana kewujudan kaedah pengesanan kontak rapat yang lebih efektif, kami yakin sudah tiba masanya sekatan pergerakan terpilih perlu diperkenalkan bagi membolehkan masyarakat terutama mereka yang menjalankan perniagaan kecil dan sederhana menebus kembali kerugian mereka selama ini


"Kami memohon agar dipertimbangkan semula waktu operasi untuk premis makanan dan minuman, serta dasar tidak boleh menjamu selera di premis harus dikaji dengan membenarkan pelanggan menjamu selera di kedai terhad dua individu setiap meja tanpa terikat masa sehingga jam 8 malam


"Perniagaan seperti kedai alat tulis dan kedai perubatan tradisional serta komplementari termasuk kiropraktor, fisio dan pengamal kesihatan mental harus dibenarkan beroperasi seperti biasa.


"Pengurusan pengendali Covid harus merangkumi ujian yang boleh dilakukan di premis-premis yang telah diberi kebenaran untuk beroperasi. Justeru MKN tidak hanya bergantung pada PKP tanpa memahami keseluruhan spektrum di bawah prosedur pengurusan wabak," katanya.


Tambah Bahktiar lagi, MKN perlu lebih telus mempamerkan rekod denda dan juga tangkapan yang telah diambil sejak PKP 1.0 hingga ke PKP 3.0 dan memperincikannya mengikut sektor melibatkan syarikat yang berada dalam kategori industri kecil sederhana yang sememangnya terkesan dan juga rakyat yang berada dalam kategori berpendapatan rendah.


"Covid 19 menimbulkan ancaman nyata dan segera terhadap kesihatan rakyat kita, dan kita menyedari ini.


"Namun, apabila sekatan terus berlanjutan tanpa pertimbangan yang mencukupi untuk mencari nafkah, kita juga berisiko kehilangan nyawa. Ketika memasuki PKP pusingan ketiga, kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan terhadap pelaksaan PKP.


"Kita harus mengulangi tuntutan bahawa setiap pelaksanaan PKP mesti disertakan dengan jumlah bantuan yang diperlukan dan memadai berbanding jumlah kecil yang diumum bagi Perkhidmatan Kecil dan Sederhana serta orang-orang yang sangat memerlukan bantuan.


"Hal ini disahkan oleh Bank Dunia dalam pelancaran laporan ekonominya semalam. Seharusnya kerajaan sedia ada memberi sokongan tambahan seperti memberi moratorium pinjaman bank dalam waktu yang terdesak ini," akhiri Bahktiar.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page