top of page

Kehadiran Trump ke Sidang ASEAN mandat diplomasi kepada Malaysia - PMO

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 30
  • 2 min read

ree


Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump serta pemimpin-pemimpin dunia lain ke Kuala Lumpur pada Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan merupakan sebahagian daripada mandat diplomasi yang diamanahkan kepada Malaysia, demikian kata Pejabat Perdana Menteri.


Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah (gambar) berkata, perkara itu bukan soal pengiktirafan terhadap dasar peribadi mana-mana pemimpin tetapi suatu pengiktirafan kepada ASEAN dan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi.


"Pejabat Perdana Menteri mengambil maklum wujud pandangan daripada beberapa pihak termasuk tokoh politik tanah air yang menuntut jemputan kepada Trump ditarik balik atas dasar pandangan beliau terhadap isu Palestin.


"Pendirian Malaysia mengenai Palestin tidak pernah berubah, ia jelas, tegas dan konsisten sejak dahulu. Perdana Menteri sendiri adalah antara suara paling lantang di dunia dalam membela Gaza, mengecam kekejaman Israel dan mengetuai suara moral umat Islam di pentas antarabangsa," kata beliau dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan melalui Facebook Anwar Ibrahim hari ini.


Tunku Nashrul berkata pandangan mengenai Palestin juga telah disuarakan sendiri oleh Perdana Menteri di hadapan bekas Presiden AS, Joe Biden sebelum ini.


Namun katanya menolak kedatangan Trump ke ASEAN bukanlah jalan penyelesaian memandangkan prinsip diplomasi menuntut negara menyuarakan kebenaran secara berdepan dan bukan mengelak.


"Dengan cara ini, Malaysia bukan sahaja menzahirkan solidariti kepada Gaza tetapi juga menunjukkan kebijaksanaan sebagai tuan rumah yang berani, tegas dalam prinsip, dan matang dalam diplomasi," ujarnya.


Tunku Nashrul menjelaskan Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada Otober ini amat bersejarah kerana Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN memikul amanah besar untuk memastikan semua rakan dialog hadir ke meja rundingan.


"Perlu diingat, kepengerusian ASEAN datang hanya sekali setiap dekad dan inilah kali terakhir Malaysia mengetuai (sidang) sebelum menyerahkannya kepada Filipina.


"Justeru itu, kita wajib menggunakan kesempatan ini untuk memimpin dengan sebaik mungkin, membawa suara ASEAN ke peringkat global," jelas beliau.


Beliau menjelaskan ASEAN bukan sekadar satu perkumpulan serantau tetapi satu komuniti strategik yang berhubungan rapat dengan kuasa besar dunia melalui platform tetap seperti Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat, ASEAN–China, ASEAN–Jepun, ASEAN–Korea, ASEAN–Australia, ASEAN–GCC, ASEAN–PBB, Sidang Kemuncak Asia Timur dan banyak lagi.


Pada masa yang sama, kata beliau Malaysia membawa suara ASEAN agar sidang kemuncak pada kali ini tidak hanya tertumpu kepada isu geopolitik semata-mata malah lebih kepada agenda bersama iaitu memperkukuh kerjasama ekonomi, menarik pelaburan strategik, memperluas perdagangan serta mempercepat integrasi rantau ini sebagai kuasa ekonomi dunia.


"ASEAN mesti bersuara dengan satu nada, memanfaatkan peluang dengan semua rakan dialog – bukan sahaja Amerika Syarikat tetapi juga China, Jepun, Korea, Australia dan GCC (Majlis Kerjasama Negara Teluk)


"Inilah kepimpinan yang Malaysia tawarkan, kepimpinan yang menegakkan prinsip keadilan sejagat, terus istiqamah membela Palestin, dan pada masa sama memikul tanggungjawab besar sebagai pengerusi ASEAN untuk membina rantau yang makmur, stabil dan sejahtera," katanya.


Dalam hal ini beliau berkata Kerajaan MADANI akan memastikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menjadi bukti bahawa Malaysia mampu memimpin dengan hikmah iaitu lantang membela yang tertindas, cekal memperjuangkan kepentingan rakyat dan bijaksana mengimbangi diplomasi global.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page