top of page

Kehadiran PMX lonjakan sokongan calon Perpaduan PRK Pelangai

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Oct 3, 2023
2 min read


Oleh: Noraini Nordin


ULASAN: Semakin hampir hari mengundi, dapat dirasai aras sokongan terhadap calon Perpaduan dari BN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai kian melonjak.


Apatah lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut 'turun padang' menyantuni penduduk Pelangai serta sepentas berceramah bersama pemimpin-pemimpin tertinggi perpaduan.


Sambutan yang amat menggalakkan dengan ribuan hadiran membanjiri Program Ceramah Mega Perpaduan Madani di Dataran Pelangai malam tadi adalah satu lagi isyarat bahawa sokongan semakin kukuh.


Jumlah kehadiran dan sambutan meriah yang diberi terhadap kedatangan Perdana Menteri adalah petunjuk bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau, di sebalik pelbagai tohmah dan fitnah, kian diterima ramai.


Secara langsung, ini juga memberi gambaran sokongan mereka kepada calon BN yang bertanding di PRK Pelangai sebagai wakil kepada Kerajaan Perpaduan.


Selain Anwar, turut hadir ialah Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, calon BN bagi PRK Dun Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam serta beberapa pimpinan lain.


Kesatuan dalam Perpaduan makin mantap


Dalam ucapannya, Anwar antara lain memberi penekanan tentang persefahaman dan kesatuan yang semakin mantap dalam Kerajaan Perpaduan, walaupun diserang dan tidak disenangi setiap hari oleh blok pembangkang.


Kehadiran PM ditunggu tunggu oleh penduduk DUN Pelangai

Katanya, kerjasama melibatkan PH bersama Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah satu gabungan yang mantap dan menyebabkan tiada keraguan Kerajaan Perpaduan ini akan bertahan sehingga habis penggal.


"Kerana apa mereka nak pecahkan, (kerana) mereka cemburu, kerana sudah berapa lama (di negara ini) kita belum ada kekuatan yang sebegini rupa, memang ada usaha yang mahu pecahkan gabungan ini.


"Tapi yang penting kerajaan perpaduan ini stabil, untuk apa? Untuk kita bangkitkan ekonomi, untuk apa? Untuk bawa pelaburan luar masuk, untuk apa?


"Untuk kita bela nasib rakyat, pelabur pun dah yakin dengan Kerajaan Perpaduan, jadi jangan kacau, jangan rosakkan. Nak kacau tunggu empat tahun lagilah," katanya.


Bawa masuk pelaburan lumayan


Menurut Anwar yang juga Pengerusi PH, dalam tempoh sembilan bulan ini, kerajaan perpaduan telah berjaya membawa manfaat seperti dasar ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).


"Malah pelaburan tahun ini pun adalah yang paling tinggi dalam sejarah kita, dan ingat ini belum pun hujung tahun lagi," tambah beliau.


Melalui gambaran yang Anwar berikan berkenaan kestabilan dan kekukuhan Kerajaan Perpaduan pimpinannya, yang mampu bertahan sehingga PRU16 pada tahun 2027 akan datang, di samping pelbagai pelan telah digerakkan, inilah jaminan yang pasti melegakan pengundi DUN Pelangai yang mendengarnya secara langsung daripada Perdana Menteri.


Dengan itu, pengundi Pelangai tentu saja merasakan tiada sebab untuk mereka menyokong calon lain selain BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada 7 Oktober nanti.


Hanya dengan memilih calon yang sealiran dan mewakili parti dalam kerajaan perpaduan saja yang boleh menjamin nikmat pembangunan terus mereka dinikmati selepas ini dan berterusan sampai bila-bila.


_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page