Keganasan semasa PKP: Anjur kempen 'Keselamatan Wanita dan Hormat Wanita'


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) digesa menganjurkan kempen 'Keselamatan Wanita dan Hormat Wanita' pada kadar segera melihat kepada keganasan ke atas golongan berkenaan yang banyak berlaku sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan kini sedang berlangsung PKP 3.0.


Menurut Ketua Wanita KEADILAN Negeri Johor, Napsiah Khamis, sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan sejak Januari hingga April tahun ini.


Katanya, aduan kes dera pula naik 14% dan menunjukkan peningkatan setiap hari.


"Saya menggesa kerajaan melalui KPWKM segera menganjurkan kempen Keselamatan Wanita dan Hormat Wanita. Kempen sebegini sepatutnya sudah bermula lebih awal iaitu pada PKP 1.0 dikuatkuasakan kerana kes penderaan dilihat semakin meningkat di musim pandemik.


"Tugas seorang menteri bukanlah sekadar kuruskan badan, menjadi model sambilan ataupun berlakon untuk rakaman semata-mata. Tugas seorang Menteri yang memegang portfolio wanita perlu menyediakan dasar, inisiatif atau program yang dapat membela hak dan menjamin keselamatan setiap wanita dalam negara ini," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau juga merujuk kepada kes keganasan rumahtangga terbaharu yang melibatkan seorang isteri yang sedang hamil empat minggu dibelasah oleh suami sehingga mendatangkan kecederaan parah di Johor Bahru, pada 4 Mei lalu.


Kata Napsiah, kecederaan itu menyebabkan tengkorak kepala mangsa terpaksa dibuang akibat pendarahan manakala tulang belakang dan rusuk mengalami keretakan.


"Sebagai seorang wanita, saya bersimpati atas nasib yang sedang menimpa mangsa dan saya mengecam sekeras-kerasnya keganasan rumah tangga seperti ini atau apa jua perbuatan kasar terhadap wanita yang boleh mengundang kecederaan fizikal, masalah mental dan emosi.


"Mangsa wajib mengambil tindakan segera supaya penderaan tidak berpanjangan dan mendatangkan kecederaan yang tidak dingini. Untuk mengelakkan insiden seperti ini daripada berulang lagi, mangsa-mangsa penderaan tidak boleh mendiamkan diri. Saya menyeru agar mangsa mendapatkan bantuan daripada kerajaan atau NGO," katanya lagi.


Menurut Napsiah, mangsa penderaan boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi talian Teledera 1 800 88 3040 bagi mendapatkan khidmat kaunseling atau membuat laporan di Balai Polis dan di Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berdekatan.


Mangsa juga boleh mendapatkan pertolongan daripada NGO seperti Women’s Aid Organization (WAO) di talian 03-7956 3488 atau Whatsapp 018-988 8058 dan Women’s Centre for Change (WCC) di talian 04-228 0342.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
5304
64
8163
Total
657,508
3908
580,276

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
347,342
9,422
391,535
Total
176,420,883
3,811,183
158,674,643

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER