Keganasan di sekolah: Laksana enam langkah tangani buli, jenayah - AMK
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Biro Pendidikan dan Mahasiswa Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia tampil dengan enam langkah utama menerusi kempen #kitajagasekolahkita bagi menangani kes buli dan jenayah yang berlaku di sekolah.
Timbalan Ketua Biro Pendidikan AMK, Muhammad Haikal Mohammad Hatta berkata, program itu bukan sekadar kempen, sebaliknya satu gerakan hati yang menyeru masyarakat melihat semula bahawa sekolah bukan hanya tanggungjawab guru, tetapi tanggungjawab bersama.
Beliau berkata, apabila semua pihak berganding bahu, barulah sekolah benar-benar menjadi tempat yang selamat untuk membesar dan belajar.
"Justeru melalui kempen #kitajagasekolahkita, kami kemukan enam langkah utama yang dibahagikan kepada tiga teras penting.
"Pertama adalah langkah pencegahan, pemulihan dan pemantauan. Kita mesti bertindak sebelum buli berlaku. Pertama laksanakan latihan 'trauma inform education' untuk guru dan warden di asrama.
"Perkara ini kita telah bentangkan kepada Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek). Mereka perlu diberi ilmu memahami tingkah laku pelajar daripada sudut emosi. Kita mahu pendekatan yang mendidik, bukan menghukum.
"Kedua tuntutan kita adalah memperkenalkan modul pendidikan ibu bapa. Modul ini boleh dijalankan melalui PIBG, komuniti dan media agar ibu bapa tahu bagaimana membimbing anak untuk menjadi penyayang dan bukan pembuli.
"Ketiga kita menuntut reformasi kokurikulum agar pendidikan sivik, moral empati pelajar bukan sekadar teori tetapi dipraktikkan melalui aktiviti dan budaya sekolah seharian," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Fadhlina di kementeriannya, di Putrajaya hari ini.
Menurut Haikal lagi, langkah keempat ialah mewujudkan sistem sokongan psikososial menyeluruh di sekolah.
Katanya, setiap murid yang terkesan akibat buli perlu mempunyai tempat untuk mendapatkan bantuan termasuk kaunselor yang terlatih.
"Kelima kami mendesak KPM untuk membentang dan melaksanakan segera pelan intervensi anti buli, namun dengan berhati hati.
"Langkah terakhir ialah kita perlu mewujudkan satu sistem pemantauan bebas dan telus di sekolah melibatkan PIBG, alumni, pihak polis, komuniti dan NGO.
"Ia termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko dan penubuhan unit khas siasatan buli di setiap sekolah supaya setiap aduan diambil serius," katanya sambil memaklumkan Fadhlina turut menyambut baik langkah-langkah berkenaan.