Fitnah DAP: MP Pas gagal rayuan, mahkamah kekal denda RM750,000
- Suara Keadilan

- 6 days ago
- 2 min read

Ahli Parlimen (MP) Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad dari Pas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan berhubung kes saman fitnah yang difailkan veteran DAP Lim Kit Siang, Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini sebulat suara menolak rayuan tersebut selepas mendapati ia tidak mempunyai merit, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang sebelum ini memerintahkan Siti Mastura membayar ganti rugi keseluruhan RM750,000.
Keputusan itu dibacakan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang bersidang bersama Datin Paduka Evrol Mariette Peters dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, lapor media tempatan.
Mahkamah turut menolak rayuan silang plaintif yang memohon jumlah ganti rugi lebih tinggi.
Dalam penghakiman, mahkamah menegaskan Mahkamah Tinggi telah membuat dapatan yang tepat dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan kenyataan dibuat Siti Mastura yang mengaitkan pemimpin DAP dengan tokoh komunis Chin Peng sebagai fitnah dan tidak disokong sebarang bukti.
Hakim turut menyatakan pembelaan komen adil dan justifikasi yang dibangkitkan defendan tidak boleh diterima kerana ia dibina atas fakta palsu serta gagal dibuktikan di mahkamah.
Mahkamah juga menyifatkan tindakan defendan yang tidak menarik balik kenyataan, enggan memohon maaf serta memutarbelit fakta sebagai elemen menunjukkan niat jahat.
Menurut mahkamah, sebagai seorang Ahli Parlimen berkelulusan PhD, defendan mempunyai akses mudah untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak yang difitnah namun gagal berbuat demikian.
Pada 4 Disember 2024, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memerintahkan Siti Mastura membayar RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.
Pada Januari tahun lalu, beliau dilaporkan telah menjelaskan bayaran RM830,034.75 merangkumi ganti rugi, kos guaman dan faedah kepada ketiga-tiga plaintif.
Keputusan terbaharu Mahkamah Rayuan itu dilihat sebagai peringatan jelas bahawa politik fitnah, tohmahan perkauman dan cubaan mengaitkan lawan politik dengan naratif palsu tidak mempunyai tempat dalam demokrasi matang.




Comments