top of page

Keganasan di sekolah: Jangan cepat salahkan menteri, kerajaan - Abun

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 15 hours ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Warga maya diingatkan agar menghentikan amalan menyalahkan menteri atau pihak yang tidak terlibat atas setiap kejadian yang berlaku di sekolah-sekolah.


Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata, masyarakat tidak wajar terus menyalahkan Menteri Pendidikan setiap kali berlaku sesuatu kejadian di sekolah.


Katanya, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan sedemikian kerana walaupun sekolah berada di bawah Kementerian Pendidikan, itu tidak bermakna setiap masalah berpunca daripada menteri.


"Kita ada undang-undang dan pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan. Seperti contoh, kes arwah Zara Qairina, ia sedang dalam proses inquest.


"Kes rogol berkumpulan di Melaka pula pihak polis sedang siasat, manakala kes pelajar ditikam di Petaling Jaya, juga sedang dalam siasatan.


"Semua ini tertakluk di bawah Kanun Keseksaan dan akan dibicarakan di Mahkamah.


"Jadi, tidak wajar kita terus menuding jari kepada menteri, perdana menteri (PM) atau mana-mana pihak lain yang tidak berkenaan dengan kes tersebut," katanya dalam muat naik di Facebook beliau hari ini.


Dalam kenyataan sama, Abun sekali lagi mengingatkan pihak yang terlibat bahawa menteri, guru dan pentadbir sekolah juga adalah seorang manusia yang mempunyai hati dan perasaan serta sedang berjuang melakukan yang terbaik untuk mendidik anak bangsa.


"Hormatilah mereka, dan percayalah bahawa keadilan akan ditegakkan melalui saluran yang betul.


"Setiap jenayah ada saluran undang-undangnya. Sistem pendidikan kita juga bukan baru dibina selepas PRU15, tetapi hasil warisan sejak pembentukan Malaysia tahun 1963.


"Biar undang-undang mengambil tempatnya. Kita jangan jadi penyiasat, pendakwa raya dan hakim di media sosial," tegas beliau lagi.


Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu menambah, masyarakat seharusnya menggunakan media sosial untuk membina, bukan menghukum.


"Kita semua mempunyai peranan mendidik masyarakat agar lebih adil, berempati dan berhemah dalam menilai sesuatu isu.


"Jangan kita lupa didikan agama masing-masing juga memainkan peranan penting dalam membentuk generasi berakhlak, berdisiplin dan menghormati orang lain," ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page