Keganasan di sekolah: Hukuman rotan pelajar relevan dikembalikan - PM
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Hukuman merotan pelajar yang melakukan kesalahan revelan dikembalikan dalam sistem persekolahan di negara ini.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi menyatakan bahawa hukuman rotan itu perlu dipertimbangkan, namun dengan syarat ketat bagi mengelak penyalahgunaan kaedah tersebut.
Katanya, beliau pernah menjadi guru dan masih mengingat puluhan anak murid yang pernah dirotannya, namun hanya di tangan.
''Bukan bagi kelonggaran sepenuhnya. Tentunya tidak terlalu nampak sangat (ketara) penderaannya.
''Ada juga pandangan umpamanya daripada pihak-pihak hak asasi (manusia) yang merasakan ia termasuk dalam kategori penderaan anak-anak. Saya faham kontroversi itu.
''Tetapi ramai pendidik dan ibu bapa merasakan ada keperluan (merotan), tapi (ia dilakukan) dengan syarat-syarat tertentu dan ditugaskan guru-guru tertentu dan di bilik khas seperti di bilik disiplin dan ditetapkan had maksimum bilangan rotan yang dibenarkan,'' katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) sama ada kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan guru-guru merotan, dengan memberikan budi bicara kepada warga pendidik seperti yang dicadangkan beberapa Ahli Parlimen ketika sesi perbahasan sebelum ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berpendapat ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang memandangkan kenakalan anak-anak merupakan perkara biasa.
Namun katanya, apabila anak-anak itu melanggar sesuatu peraturan, semestinya hukuman wajar dikenakan kepada mereka.
''Tapi ini sekadar pandangan (saya) bukan dasar kerajaan.
''Saya percaya (hukuman rotan) harus dipertimbangkan, diperhalusi dan mengadakan libat urus dengan semua pihak yang akan dikendalikan oleh Menteri Pendidikan sebelum kerajaan memuktamadkannya,'' ujar beliau lagi.