Keganasan di Sekolah: Fadhlina Sedang Baiki Sistem, Bukan Sekadar Imej
- Suara Keadilan

- Oct 21, 2025
- 1 min read

Oleh: Sandy Zaliu
ULASAN: Dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, nama Fadhlina Sidek sering menjadi sasaran kritikan. Apa sahaja isu di sekolah, dari tragedi kemalangan, kes buli hingga gangguan seksual, semuanya akhirnya berpaut pada bahu Menteri Pendidikan itu.
Namun dalam keghairahan mencari pihak untuk dipersalahkan, kita seolah-olah terlupa bahawa Menteri tidak memiliki kuasa ajaib untuk menghalang setiap insiden yang berlaku di lebih 10,000 sekolah di seluruh negara. Beliau tidak berada di setiap bilik darjah dan tidak mampu membaca setiap fikiran murid dan guru. Tetapi beliau bertanggungjawab memastikan sistemnya berfungsi, dan di situlah sebenarnya beliau sedang bekerja.
Merombak sistem pendidikan
Sebagai pemimpin reformis, Fadhlina membawa misi besar untuk merombak sistem pendidikan yang sudah berdekad lamanya terikat dengan budaya lama. Dari membina semula integriti sekolah, memperkukuh keselamatan pelajar, hingga mengarusperdanakan pendidikan berasaskan nilai MADANI, beliau sedang melakukan kerja berat yang jarang dilihat tetapi besar kesannya.
Benar, gaya komunikasi beliau kadang disalah tafsir sebagai emosi. Namun dalam dunia politik yang terlalu banyak lakonan, barangkali keikhlasan itulah yang membuat beliau berbeza. Emosi bukan kelemahan. Ia tanda peduli, tanda manusia yang masih punya hati dalam menjalankan amanah.
Pembaharuan ambil masa
Bagi mereka yang menuduh Fadhlina gagal, tanyalah semula. Adakah kegagalan itu kerana sistem yang lama belum sempat dipulihkan, atau kerana kita terlalu cepat menilai tanpa memberi ruang kepada perubahan mengambil bentuk?
Setiap pembaharuan mengambil masa. Fadhlina bukan mencari populariti, tetapi ingin meninggalkan legasi: sistem pendidikan yang lebih selamat, lebih berjiwa dan lebih adil untuk semua anak Malaysia.









Comments