Keganasan di sekolah: Ambil tindakan drastik tangani krisis nilai - AMANAH
- Suara Keadilan

- Oct 15
- 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) menzahirkan rasa dukacita mendalam terhadap dua tragedi yang menggemparkan negara — kes rogol di sebuah sekolah di Melaka dan kes pembunuhan pelajar di sebuah sekolah di Damansara — yang disifatkan sebagai cerminan krisis nilai moral dan kemanusiaan dalam masyarakat.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof (gambar), berkata kedua-dua insiden itu bukan sekadar isu disiplin pelajar tetapi petanda jelas bahawa sistem sosial dan pendidikan negara sedang berdepan kehilangan empati dan kemanusiaan.
"Sistem pendidikan dan sosial kita berdepan krisis kemanusiaan dan kehilangan empati, yang menuntut tindakan menyeluruh melibatkan semua pihak, kerajaan, sekolah, ibu bapa, dan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pengaruh negatif media sosial dan budaya bebas yang semakin berleluasa turut menyumbang kepada normalisasi tingkah laku ganas serta songsang dalam kalangan remaja.
"Budaya bebas dan pengaruh negatif media sosial yang mempamerkan keganasan, pornografi dan hilangnya rasa hormat kepada manusia termasuk institusi sekolah dan guru menyumbang kepada normalisasi tingkah laku ganas dan songsang dalam kalangan remaja
"AMANAH menyeru supaya kawalan, bimbingan dan literasi digital diperkuat di semua peringkat, termasuk melalui kurikulum dan pendidikan moral di sekolah," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sistem pendidikan perlu dikembalikan kepada matlamat asal untuk membentuk insan berakhlak, bukan semata-mata mengejar pencapaian akademik.
"Sudah tiba masanya sistem pendidikan kita menilai semula keseimbangan antara pencapaian akademik dengan pembinaan sahsiah, disiplin, dan tanggungjawab sosial," katanya.
AMANAH turut menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuh peranan guru kaunseling dan disiplin, selain memastikan saluran aduan pelajar berfungsi secara selamat dan berkesan.
"Kami menyokong pelaporan jujur dan tepat oleh pihak pentadbir sekolah terhadap apa juga kes buli dan jenayah, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan bahawa jangan ada yang menyorokkan maklumat di bawah karpet semata-mata untuk menjaga nama baik sekolah.
"Kejujuran dan ketelusan adalah asas utama dalam menangani isu keselamatan pelajar," kata beliau.
Selain itu, Azli menegaskan bahawa pendidikan di rumah adalah benteng pertama pembentukan nilai, dan ibu bapa mesti memainkan peranan lebih aktif dalam membimbing serta memantau tingkah laku anak-anak, terutama dalam dunia digital.
Sehubungan itu, AMANAH menggesa kerajaan menilai semula dasar sosial dengan menyediakan program intervensi awal bagi pelajar berisiko, bantuan kesihatan mental dan bimbingan keluarga bagi membendung gejala sosial.
"AMANAH menyarankan supaya kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah diperkukuh — bukan sekadar dalam bentuk mesyuarat PIBG, tetapi sebagai rakan strategik dalam usaha membentuk karakter dan keselamatan pelajar," tegasnya.
Justeru, Azli menyeru seluruh warga pendidik, ibu bapa dan masyarakat agar bersatu membina semula sistem nilai dan pendidikan yang berasaskan kasih sayang, hormat dan tanggungjawab sosial.









Comments