'Kedudukan Melayu, bahasa kebangsaan lebih terancam era Tun M'
- Suara Keadilan
- Jun 7
- 1 min read

Dakwaan kononnya bahasa Melayu dan kedudukan bangsa Melayu semakin terancam di bawah Kerajaan MADANI tidak berasas dan bersifat politik semata-mata.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar) berkata, tuduhan itu merupakan satu naratif politik yang cuba menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu
Sedangkan tegasnya, ancaman sebenar terhadap bahasa Melayu berlaku ketika pentadbiran terdahulu, khususnya semasa era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Dakwaan yang mengatakan bahasa Melayu semakin hilang peranannya hanyalah strategi politik.
"Sebaliknya, kita tidak lupa dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir pada tahun 2003, yang mencetuskan kontroversi besar serta penolakan oleh pelbagai pihak kerana dilihat melemahkan bahasa kebangsaan.
"Kerajaan MADANI kini dilihat jauh lebih konsisten dan progresif dalam memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran dan wacana nasional, seperti termaktub dalam Perlembagaan," katanya dipetik Astroawani.
Beliau berkata begitu sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa bahasa Melayu dan kedudukan bangsa Melayu semakin terancam di bawah kerajaan sedia ada.
Dalam perkembangan sama, Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan menegaskan, isu ancaman terhadap orang Melayu' sering dimainkan Tun Mahathir dalam mencapai objektif politiknya.
Menurut beliau, suasana politik dan sosial kini jauh lebih stabil berbanding ketika pentadbiran kali ke-2 Tun Mahathir, khususnya semasa kontroversi berkaitan ICERD dan Statut Rom pada 2018 yang mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat Melayu.
"Ini bukan kali pertama isu ini digunakan untuk meraih sokongan. Tiada istilah bahasa Melayu terancam ketika ini. Yang ada hanyalah persepsi golongan tertentu yang meremehkan bahasa kebangsaan atas kelemahan sendiri," katanya.
Comments